Tolak anjur SUKOM elak pergantungan dana swasta

Tolak anjur SUKOM elak pergantungan dana swasta

PADA 22 Mac 2024, Malaysia memutuskan untuk menolak tawaran penganjuran Sukan Komanwel (SUKOM) 2026 setelah meneliti semua aspek dan implikasi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Rentetan penarikan Victoria, Australia sebagai tuan rumah Sukan Komanwel (SUKOM) 2026, Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) mengutuskan delegasi rasmi pada 5 Februari lalu dan menawarkan peluang kepada Malaysia menggantikan negara itu sebagai penganjur temasya sukan kedua terbesar selepas sukan Olimpik.

Presiden Persatuan Sukan Komanwel Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyifatkan berita penawaran untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 sebagai peluang sekali dalam seumur hidup.

Namun, pada 22 Mac 2024, Malaysia secara rasminya memutuskan untuk menolak tawaran menganjurkan SUKOM 2026 setelah meneliti semua aspek dan implikasi.

Kendatipun begitu, kita sememangnya tidak boleh menafikan romantisisme dan daya tarikan penganjuran SUKOM yang menawarkan peluang untuk kembali menyinar di pentas global seperti yang pernah dikecapi hampir tiga dekad dahulu.

Meskipun kita bakal menerima bantuan awal daripada CGF sebanyak RM598 juta, namun besar kemungkinan bantuan ini tidak berjaya menampung sebahagian besar daripada biaya yang diperlukan.

Peningkatan kos hampir tiga kali ganda yang dihadapi Victoria kerana gagal menyediakan infrastruktur yang mematuhi syarat-syarat ketat yang dikenakan oleh CGF, memberikan gambaran awal tentang cabaran yang mungkin dihadapi sekiranya kita menjadi tuan rumah SUKOM 2026.

Ketika mana waktu pelaksanaan projek berkaitan SUKOM 2026 menjadi sangat mendesak, harga bahan atau tenaga kepakaran tertentu bakal meningkat akibat permintaan mendadak yang harus segera dipenuhi.

Ini menyebabkan, para penyedia perkhidmatan, vendor dan pembekal yang menyedari keperluan mendesak ini mungkin meningkatkan harga untuk memanfaatkan situasi tersebut yang akhirnya akan meningkatkan kos penganjuran.

Namun begitu, terdapat cadangan dari sesetengah pihak untuk menggembleng sumbangan dari individu terkaya di negara terutama sekali yang telah mengecap kejayaan melalui projek dan kontrak kerajaan untuk sama-sama menggembleng dana sehingga RM1 bilion.

Meskipun cadangan ini mungkin kelihatan sebagai penyelesaian yang praktikal, kita perlu menjawab dan mempertimbang persoalan-persoalan etika dan keberkesanan jangka panjang.

Sebagai contoh, idea meminta hartawan negara menyokong kewangan penganjuran SUKOM boleh mewujudkan pergantungan berisiko terhadap dana swasta untuk projek awam.

Natijahnya, idea sebegini boleh mengakibatkan kesan tidak disengajakan iaitu pembiayaan yang hanya diberikan kepada projek-projek awam dengan memberikan pulangan yang menarik atau memberikan impak positif kepada pelabur swasta sahaja, sekali gus mengabaikan keperluan awam yang penting.

Oleh yang demikian, kita perlu memastikan bahawa manfaat yang diperoleh daripada penganjuran acara berskala besar ini dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.-UTUSAN

DR. MOHD ZAIDI MD. ZABRI
Fakulti Perniagaan dan Ekonomi,
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN