SAUDARA PENGARANG,
Kegagalan Malaysia mengalahkan Oman dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 sangat mendukacitakan. Namun semangat juang tinggi daripada para pemain amatlah saya hargai. Walaupun begitu, keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi subjek yang perlu diberi perhatian memandangkan keadaan stadium ini tidak berada di tahap memuaskan walaupun dikatakan berada dalam tahap yang terbaik.
Situasi ini bukan pertama kali, oleh itu sesuatu yang amat memalukan apabila Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac masih lagi berdolak-dalih tentang keadaan padang tersebut dan menyatakan komisioner FIFA memberi lampu hijau untuk padang tersebut digunakan.
Ini alasan paling dangkal yang dilakukan oleh seorang Menteri apabila cuba menyalahkan komisioner FIFA sedangkan tugas utama komisioner FIFA adalah memastikan perlawanan antarabangsa itu berjalan lancar di samping memastikan setiap pemain mengikut disiplin dan undang-undang yang ditetapkan oleh FIFA.
Malah sehari sebelum perlawanan, Hannah menyatakan komisioner FIFA tidak membenarkan latihan rasmi dilakukan di padang tersebut. Ini membuktikan komisioner FIFA sebenarnya menyerahkan tugas penukaran tempat perlawanan oleh tuan rumah kerana bidang kuasa komisioner FIFA tidak boleh melangkaui peranan tuan rumah yang menganjurkan sesuatu perlawanan tersebut apatah lagi fasiliti stadium tersebut diletakkan di bawah PSM yakni salah satu agensi daripada KBS.
Oleh itu, adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab apabila menggunakan nama komisioner FIFA sedangkan peranan PSM dan KBS adalah memastikan fasiliti stadium berada dalam tahap terbaik malah untuk makluman FIFA tiada hak untuk campur tangan dalam isu membabitkan fasiliti sukan mana-mana negara sekalipun kerana bidang kuasa FIFA lebih pada peraturan dalam sukan dan pembangunan sukan bola sepak sahaja.
Tindakan Pengerusi PSM yang masih berdolak dalih mengatakan padang berada dalam keadaan yang baik namun hakikatnya berada dalam keadaan tidak memuaskan adalah sesuatu pengumuman yang tidak bertanggungjawab dan menunjukkan beliau tidak memahami peranannya yang boleh memberi nasihat kepada FAM dan komisioner FIFA untuk menukar tempat perlawanan jika sedar keadaan padang berada pada tahap yang tidak memuaskan.
Hakikatnya, walaupun Malaysia kalah, paling kurang jurulatih pasukan negara mengakui kelemahan pasukan mereka tetapi aneh bagi Menteri dan Pengerusi PSM yang menggunakan pelbagai alasan untuk membenarkan perlawanan antarabangsa dijalankan di atas padang yang terbukti bermasalah.
Sebelum menuding jari pada komisioner FIFA seeloknya bacalah dahulu peranan utama komisioner FIFA. Pada akhirnya isu fasiliti sukan adalah hak tuan rumah.
Saya berharap baik dari pihak kementerian mahupun PSM tidak lagi menggunakan pelbagai alasan dalam isu padang bola sepak ini. Akui sahaja kesilapan anda dan baiki kelemahan yang ada, bukan sekadar menuding jari itu dan ini.
Menggunakan padang berlopak di kejohanan berprestij dunia sebenarnya sedikit sebanyak telah mencalarkan imej Malaysia di mata dunia. Jika tidak tahu menggalas peranan yang diberikan adalah lebih baik berundur secara bermaruah.-UTUSAN
YUSLAINI AZMI
Aktivis politik










