Proaktif pelihara perpaduan negara

Proaktif pelihara perpaduan negara

PELIHARA kesatuan dan perpaduan sesama seluruh warganegara Malaysia. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MUTAKHIR ini isu agama, kaum dan raja (3R) semakin galak dicetuskan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, walaupun negara sudah mempunyai Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia untuk menanganinya.

Apa yang terjadi adalah tip of the iceberg, sebahagian kecil daripada masalah besar yang boleh menggugat perpaduan rakyat di negara ini. Masyarakat seperti menyimpan sifat prejudis dalam diam, mudah meledak apabila dijolok sarang tebuannya.

Tidak ada sesiapa pun yang mahu mengembalikan Tragedi 13 Mei. Ia merupakan peristiwa dan sejarah hitam yang harus diambil pengajaran agar solusi yang digunakan pada waktu itu dapat dihayati dalam keadaan perbalahan masyarakat pada hari ini.

Rentetan daripada kejadian rusuhan ini, Majlis Perundingan Negara yang dipengerusikan Tun Abdul Razak Hussein dan melibatkan pihak berkepentingan rentas kaum telah menemukan pelbagai tokoh agama, badan-badan profesional, persatuan-persatuan guru dan juga wakil-wakil minoriti hingga akhirnya Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970.

Kerajaan juga telah mengusahakan beberapa inisiatif perpaduan sejak dulu lagi untuk membentuk dan memelihara keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia yang majmuk.

Antaranya ialah kewujudan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI) sebagai platform penting bagi meningkatkan kefahaman pelbagai agama oleh Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Ini merupakan inisiatif baik yang sangat penting, namun harus diperkasakan peranannya agar dapat menjuarai isu-isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama di samping bertindak sebagai pihak yang menggunakan pendekatan yang dapat diterima ramai.

Kempen #KitaKawan turut dilancarkan baru-baru ini oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), manakala kempen #MZB365 dilancarkan oleh gabungan masyarakat sivil dengan pihak media.

Terdapat juga Program Komuniti Rahmah yang dijalankan oleh Kementerian Perpaduan Negara, menyasarkan komuniti-komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara.

Sekiranya program yang dirangka ini benar-benar dapat dihidupkan dalam komuniti majmuk, ia benar-benar dapat membina komuniti yang sejahtera, mampan dan rahmah tanpa mana-mana kaum rasa tersisih khususnya dalam KRT seperti mana tujuan penubuhannya.
Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga telah menggerakkan gabungan daripada pelbagai agama, bangsa dan latar belakang dalam usaha mencapai perpaduan.
Gabungan Patriotisme dan Perpaduan Kebangsaan (GPPK) yang ditubuhkan pada 2023 terdiri daripada 61 NGO dan Gerakan Negara-Ku yang disokong oleh lebih 80 NGO pada 2014 adalah antara inisiatif yang dimulakan untuk tujuan ini.
Namun, penting bagi setiap inisiatif ini untuk memastikan komitmen yang teguh dalam menjalankan peranan mereka secara proaktif, demi memastikan semangat kesatuan yang dikejar dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat Malaysia.
Agama Islam telah datang untuk memecahkan asabiah dan mewujudkan kesatuan. Allah sengaja menjadikan manusia itu dalam pelbagai kaum dan agama dan dianjurkan supaya perbezaan ini disantuni.
Justeru, penting untuk mengiktiraf bahawa Malaysia adalah milik kita semua. Dengan memahami bahawa kepelbagaian adalah satu kekuatan dan aset, kita dapat membina jalinan perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat.
Apabila kita memandang Malaysia sebagai milik kita bersama, kita akan lebih cenderung untuk bekerjasama merentasi sempadan perbezaan untuk mencapai kemajuan dan kesejahteraan. – UTUSAN

BADLISHAH SHAM BAHARIN
Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×