Tidak boleh dinafikan lagi bahawa Umar Abd. Al-Aziz merupakan seorang khalifah yang sangat terkenal sehingga beliau disanjung tinggi pada hari ini kerana karakter yang sangat berwibawa dengan memberi sumbangan besar dalam aspek politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.
Beliau melakukan pembaharuan dari segi pemikiran, tingkah laku dan mengembalikan keadilan, syura dan baiah terhadap corak pentadbirannya.
Pada pendapat saya, setiap pemimpin itu perlu mengikut jejak Umar untuk memiliki kebijaksanaan yang tinggi dengan menguasai pelbagai ilmu pengetahuan. Hal tersebut kerana mampu menjadikan mereka bijak dalam membuat sesuatu keputusan tanpa bertindak melulu atau terburu-buru dalam sistem pemerintahan sekali gus menjadikan sesebuah negara lebih sistematik.
Umar menguasai ilmu pengetahuan yang sangat mendalam seperti ilmu hadith, fiqh, politik, ekonomi dan sebagainya. Beliau juga dikenali sebagai tokoh ijtihad dan muhaddism pertama sehingga mampu membuat pelbagai pembaharuan dalam urusan pentadbiran negara.
Di samping itu, setiap pemimpin mesti mencontohi sikap keperibadian Umar yang menghapuskan sistem pemerintahan zalim dan sombong terhadap rakyat ketika menjawat jawatan sebagai ketua negara.
Walaupun Umar mempunyai harta kekayaan yang sangat banyak kerana dilahirkan dalam keluarga yang kaya-raya akan tetapi beliau memilih untuk hidup secara sederhana ketika menjadi seorang pemimpin. Beliau digelar dermawan yang sangat pemurah kerana majoriti kekayaan dan harta peribadinya seperti duit, tanah dan sebagainya disumbangkan kepada rakyat yang memerlukan.
Sifatnya itu sama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang enggan mengambil gaji bulanan bagi jawatan yang disandangnya sejak November 2022 selagi ekonomi negara tidak pulih sepenuhnya. Hal ini adalah bertujuan untuk mengukuhkan kestabilan ekonomi negara .
Selain itu, seorang pemimpin yang baik perlu menegakkan keadilan sebagaimana Umar lakukan semasa era pemerintahnnya termasuk dalam perihal agama.-UTUSAN
RABIATUL ADAWIYAH RIZALMAN dan PROFESOR DR. MOHD ROSLAN MOHD. NOH, Universiti Malaya










