Pekerja asing sudah dominasi ekonomi negara?

Pekerja asing sudah dominasi ekonomi negara?

ANAK muda Melayu sekarang lebih berminat bekerja atas motor manakala ekonomi dipegang warga asing. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 2015, Tan Sri Rais Yatim pernah menulis artikel dan meramalkan bahawa bangsa imigran akan menjadi dominan berbanding bangsa peribumi akibat kemasukan ramai pekerja asing dalam jumlah besar dari sesebuah negara.

Kerajaan perlu mengkaji semula polisi membawa masuk terlalu ramai pekerja asing supaya tidak membawa kesan jangka panjang dari segi sosioekonomi. Pekerja asing yang terlalu ramai boleh mengubah demografi penduduk kerana mereka kekal di negara ini untuk tempoh lama dengan bernikah dengan warganegara.

Jumlah pekerja asing yang melebihi 500,000 hanya dari satu negara boleh mendominasi ekonomi kerana bilangan yang sangat ramai di satu-satu lokasi.

Paling ketara jumlah pekerja sah Bangladesh yang sudah melebihi 700,000. Itu belum campur lagi pendatang asing tanpa izin (PATI) dan sebagainya. Imigran mempunyai daya survival yang kuat untuk berjaya. Memang sifat mereka kuat berusaha untuk mengubah nasib dan sanggup mengambil risiko termasuk melanggar undang-undang.

Pertembungan ini merugikan Melayu yang tidak akan mampu untuk menandingi imigran dalam merebut peluang ekonomi.

Imigran juga mengambil kesempatan dengan sikap segelintir rakyat yang tidak peduli tentang tanah pajak dan ada lesen sewa.

Apa kesannya kepada negara ini jika kita berterusan membawa masuk pekerja asing, yang akhirnya dalam tempoh dua tahun lagi boleh menjadi tauke kedai, subkontraktor, pengusaha ladang dan peniaga.

Lama kelamaan pengusaha ladang, peniaga daripada kalangan Bumiputera pupus akibat bersaing dengan imigran Bangladesh dan dari negara lain.

Kalau dulu, kebanjiran pekerja asing membawa juga kesan positif kepada peniaga tempatan kerana mereka menggunakan gaji untuk membeli barang keperluan harian di kedai milik peniaga tempatan.

Tetapi sekarang terlalu banyak kedai milik warga asing dan sudah tentu pekerja asing akan membeli barangan keperluan dengan rakyat senegara.

Sudahnya golongan ini menjadi kaya dan mampu membeli kereta mewah dan tinggal di kondominium manakala warganegara yang di tinggal di Kuala Lumpur pula masih bergantung kepada bantuan kerajaan.

Situasi ini tidak baik untuk masa depan negara kerana anak muda Melayu sekarang lebih berminat bekerja atas motor manakala ekonomi dipegang warga asing.

Untuk selesaikan isu ini, tetapkan had siling pekerja asing supaya tidak lepasi ambang tertentu (sebagai contoh pekerja Indonesia dan Bangladesh tidak boleh lepasi 500,000 orang bekerja dalam negara pada satu-satu masa).

Ambil pekerja rantau ASEAN dari negara berkongsi sempadan darat dengan Malaysia seperti dari Selatan Thailand dan Indonesia (Kalimantan).

Selain faktor bahasa dan budaya hampir serupa, agak mudah untuk menghantar mereka pulang jika permit tamat tempoh atau berstatus PATI kerana sempadan yang dekat. Boleh hantar pulang melalui jalan darat atau laut (kapal).

Ambil pekerja ASEAN setidaknya mereka pulang berhari raya di Indonesia, Thailand, Filipina yang lebih dekat.

Henti sementara membawa masuk pekerja dari rantau Asia Selatan seperti Bangladesh dan Pakistan yang terlalu cepat hidu peluang untuk berniaga serta bernikah dengan wanita warganegara supaya perniagaan lebih lancar tiada halangan.-UTUSAN
MOHD. ZUL
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN