Kurangkan harga tiket penerbangan pada Hari Gawai, Pesta Kaamatan

Kurangkan harga tiket penerbangan pada Hari Gawai, Pesta Kaamatan

PELAJAR di institusi pengajian tinggi (IPT) terbeban dengan harga tiket penerbangan yang tinggi terutama pada musim perayaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DARI Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) memerlukan bajet kira-kira RM1,000. Inilah realiti hari ini.

Dengan harga yang melambung sebegitu, bagaimana penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) yang menetap di Sabah dan Sarawak mahu menempuhi sesi kuliah atau bercuti di kampung halaman?

Persoalan ini membelenggu kebanyakan mahasiswa di peringkat pengajian tinggi saban tahun. Tidak kurang juga, hal ini dijadikan alasan mereka membatalkan hasrat untuk menerima tawaran pengajian di luar kampung halaman.

Semakan di laman sesawang Malaysia Airlines bagi tiket penerbangan bertarikh 27 Mac 2024 bagi kelas ekonomi, dari Kuala Lumpur ke Hong Kong cuma berharga RM451 berbanding harga tiket dari Kuala Lumpur ke Kuching yang menelan kos RM 529.32. Ini bukanlah isu yang baharu apabila harga bagi sekeping tiket penerbangan domestik ibarat hanya dikhususkan bagi golongan ‘kayangan’.

Dalam Bajet 2024, kerajaan menyatakan bantuan subsidi untuk tiket penerbangan FLYsiswa akan diteruskan pada tahun ini, yang bakal memanfaatkan hampir 60,000 penuntut dari keluarga yang kurang berkemampuan, terutamanya dari Sabah, Sarawak, dan Labuan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pula mengumumkan subsidi tiket penerbangan dengan menetapkan RM599 harga maksimum bagi kelas ekonomi sehala dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan untuk perjalanan tiga hari sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Pihak kerajaan seharusnya membuat langkah sama bagi tiket penerbangan menjelang perayaan Hari Gawai dan Pesta Kaamatan.

Perbincangan yang teliti bersama syarikat penerbangan perlu diadakan untuk menetapkan kawalan harga bagi tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak. Bukan hanya harga ketika musim perayaan, tetapi satu inisiatif yang lebih efisien melibatkan pelajar.

Strategi ‘situasi menang-menang’ juga boleh dipertimbangkan oleh syarikat penerbangan dalam menjana keuntungan dan pada masa yang sama memberi keselesaan kepada pengguna perkhidmatan mereka.-UTUSAN

NOEL ENTILI
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN