Jangan abai suara minoriti pekerja bank

Jangan abai suara minoriti pekerja bank

BANK ialah penyumbang besar kepada ekonomi negara tetapi janganlah lupa jasa pekerja. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KAMI sebagai pekerja bank menyeru kepada Menteri Sumber Manusia untuk campur tangan demi menyelesaikan isu tentang pembayaran satu bulan bantuan perayaan seperti yang telah dijanjikan.

Setakat ini, kami hanya mendapat setengah bulan dan diberitahu bahawa besar kemungkinannya yang hanya itulah yang akan kami terima.

Masalahnya ialah ramai daripada pekerja bank yang berpendapatan rendah berpendapat bahawa suara kami tidak didengar, malah pengorbanan kami juga tidak diambil kira oleh pihak pengurusan.

Dari segi pandangan kami, pihak pengurusan hanya mementingkan keuntungan dan tidak mengambil kira pengorbanan dan kesusahan yang dialami oleh pekerja-pekerja bawahan.

Segala penderitaan dan permintaan kami hanya dapat disuarakan melalui kesatuan yang mewakili kami, iaitu Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE).

Malangnya, suara NUBE pun tidak dipedulikan oleh pihak atasan dan juga menteri berkenaan.

Kami tahu bahawa bank-bank ialah penyumbang besar kepada ekonomi negara tetapi janganlah lupa pekerja-pekerja seperti kamilah yang bertanggungjawab demi memastikan bank berkenaan berfungsi dengan berkesan.

Kami juga faham bahawa suara kami juga asyik tidak dipedulikan oleh media kerana bank-bank adalah juga pengiklan mereka, tetapi di dunia ini mestilah ada keadilan.

Pekerja-pekerja bawahan bukannya berpendapatan tinggi dan bantuan perayaan satu bulan itu sangat bermakna kepada kami.

Setelah selesai perayaan hari raya, banyaklah hutang yang hendak diselesaikan dan kami haraplah Menteri Sumber Manusia dapat bekerjasama dengan NUBE demi menyelesaikan perkara ini dengan baik.

Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada NUBE yang sering memperjuangkan hak kami.-UTUSAN

SHAID UMAR SYED ALWI
Shah Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN