SAUDARA PENGARANG,
Kebelakangan ini, kita terasa begitu terasing antara satu sama lain. Terasa berjauhan dan terasa hati memandang dan mendengar isu semasa.
Isu pengiktirafan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk Kampung Baru Cina dilihat sebagai mencabar orang Melayu. Mungkin kerana, untuk Kampung Melayu, tiada siapapun memikirkan pengiktirafan sedemikian.
Bukan salah menteri yang mencadangkan untuk memartabatkan Kampung Baru Cina itu sahaja tetapi juga pemimpin Melayu. Namun, menteri tersebut mempunyai tanggungjawab pada semua lapisan penduduk, bukan penduduk Kampung Cina sahaja. Sebagaimana Perdana Menteri mempunyai tanggungjawab pada semua lapisan masyarakat, bukannya pada Melayu sahaja.
Mungkin elok pemimpin Melayu pula memikirkan kampung Melayu yang boleh diiktiraf. Saya orang Pahang, saya cadangkan:
Kampung Chenor yang termasyur dalam Hikayat Pahang. Kampung Lurah Bilut menyaksikan kelahiran Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang memperkasa rakyat Malaysia dan Pekan, bandar Diraja yang lebih tua dari Melaka.
Di negeri-negeri lain pun banyak seperti Kampung Laut di Muar, Santubong di Sarawak dan Langkawi di Kedah dan banyak lagi. Sungai Batu, Lembah Bujang di Kedah; Lenggong di Perak dan Bukit Melaka di Melaka juga disebut dalam sejarah Melayu.
Masjid yang beratus tahun seperti Masjid Kampung Laut, Kelantan dan Masjid Tengkera, Melaka lebih lama dari kampung-kampung yang dicadangkan.
Mungkin kerajaan boleh usahakan pengiktirafan tempat-tempat ini jika tiada pemimpin Melayu yang berkaliber menguruskan hal ini.
Tidak mungkin segala anugerah UNESCO ini hanya layak pada kawasan yang majoritinya Cina seperti di Georgetown, Melaka dan tujuh kampung Cina yang disebutkan sebelum ini sahaja.
Perlu difikirkan semula. Nama asal semenanjung ini pun Semenanjung Tanah Melayu. Tentulah ada kawasan yang patut kita usahakan pengiktirafannya jika kita kaji bersama. – UTUSAN
NINOT AZIZ
Pengarang










