SAUDARA PENGARANG,
HIMPUNAN Gerakan Islam Malaysia (Hikam) mengambil berat dengan satu kenyataan yang menyentuh tentang Perlembagaan Persekutuan. Ia dikatakan digubal oleh penjajah yang merancang kemerdekaan untuk menipu umat Islam dengan tujuan tidak mahu memberikan kuasa kepada Islam.
Hikam menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa kenyataan itu bukan sahaja mengelirukan, malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam.
Kenyataan seperti itu memberi gambaran bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak memberi kuasa kepada agama Islam. Sedangkan, kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan Malaysia telah diiktiraf dan diletakkan sebagai agama Persekutuan.
Agama Islam di Malaysia tidaklah terancam kerana kedudukannya dijamin Perlembagaan Persekutuan, malah kedudukan ini perlu diperkukuhkan dan disebarkan ajarannya kepada umat Islam dan bukan Islam.
Oleh itu, Hikam menggesa semua pihak terutamanya parti-parti politik supaya berhenti daripada memperalatkan isu perlembagaan dan 3R (agama, bangsa dan raja) untuk kepentingan dan pengaruh politik masing-masing.
Memperalatkan isu 3R dan perlembagaan tiada faedahnya, bahkan boleh membawa mudarat kepada kesejahteraan dan keharmonian negara yang memiliki berbilang bangsa dan agama.
Hikam juga menggesa semua pihak agar mengambil sikap menegur dan menasihat dengan berhikmah dan berakhlak mulia tanpa merendahkan kedudukan mereka yang ditegur. Dengan akhlak yang mulia, maka akan terserlah Islam sebagai rahmatan lil alamin.
Sesungguhnya tanggungjawab mempertahankan Islam dan ummah di negara ini bukanlah terletak pada satu-satu pihak atau parti tertentu sahaja, bahkan ia tanggungjawab seluruh umat Islam tanpa mengira kedudukan, negeri, parti politik, kerajaan, pembangkang atau peringkat dalam masyarakat.
Hikam bersedia menawarkan kepakarannya serta sumber manusianya untuk memartabatkan Islam demi mencapai negara Malaysia madani beracuan rahmah.-UTUSAN
HIMPUNAN GERAKAN ISLAM MALAYSIA
(Hikam)










