SAUDARA PENGARANG,
BULI siber merupakan perbuatan berulang dengan tujuan untuk menakutkan, mendatangkan kemarahan, mengancam dan memalukan seseorang menggunakan medium komunikasi dan teknologi.
Penggunaan teknologi tanpa sempadan menyebabkan pembuli siber lebih berani mendera mangsa mereka melalui emosi dan mental dengan menggunakan kata-kata kesat.
Perbuatan buli siber lebih berbahaya daripada membuli secara fizikal kerana pembuli siber bukan sahaja merahsiakan identitinya namun mereka dapat membuli mangsa mereka tanpa mengira masa.
Antara undang-undang sedia ada ialah Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Seksyen 233 Akta yang sama juga turut memperuntukkan mengenai kesalahan penyalahgunaan kemudahan rangkaian mahupun perkhidmatan rangkaian.
Terdapat beberapa Akta yang lain turut boleh disabitkan dengan jenayah buli siber. Contohnya, Akta Kerja 1995 yang memperuntukkan hukuman kepada gangguan seksual di tempat kerja seperti lawak jenaka atau ancaman yang dilakukan secara dalam talian sehingga menyebabkan ketakutan, ancaman dan ketidakselesaan kepada mangsa semasa bekerja.
Sekiranya berlaku aktiviti penggodaman terhadap akaun rasmi seseorang demgan menyebabkan berlakunya buli siber yang berpunca daripada akaun tersebut, penggodam tersebut boleh disabitkan di bawah Akta Jenayah Komputer 1997.
Pembuli siber juga boleh disabitkan di bawah Akta Fitnah 1957 sekiranya perbuatan menerbitkan sesuatu bahan di laman media sosial yang berunsur fitnah dan tidak benar. Di sini, kita dapat melihat jenayah buli siber boleh dibaca sekali dengan perbuatan lain yang menyalahi undang-undang sedia ada.
Walaupun terdapat peruntukan undang-undang yang boleh disabitkan terhadap pembuli siber, namun undang-undang tersebut tidak cukup untuk menyelesaikan isu melibatkan dunia teknologi yang semakin berkembang.
Malaysia perlu mempunyai undang-undang khas yang melibatkan buli siber. Undang-undang ini perlulah seiring dengan peredaran teknologi yang semakin pesat agar ia terus relevan dari masa ke masa.
Langkah-langkah untuk menghentikan buli siber ialah mangsa boleh melaporkan serta menyekat akaun pembuli di semua media sosial. Sebagai contoh, Twitter telah memperkenalkan ciri terbaru bagi mengawal penggunanya membalas ciapan yang dimuat naik oleh seseorang bagi menghindari pandangan negatif dan kelakuan buli siber di laman sosial tersebut.
Pembuli siber ingin melihat mangsa memberikan reaksi apabila mereka membuli. Sekiranya mereka diabaikan, akhirnya mereka akan muak dan tidak lagi mengganggu mangsa.
Langkah proaktif yang dilakukan kerajaan untuk melindungi mangsa jenayah buli siber adalah usaha sama oleh kementerian, pihak berkuasa dan badan-badan bukan kerajaan.
Antaranya dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), melalui Talian Kasih, Mercy Malaysia, Talian BeFrienders, Platform Media Sosial (Facebook, Instagram, Twitter) dan boleh juga melaporkan insiden keselamatan siber kepada Pusat Bantuan Cyber 999.
Justeru, setiap individu juga berperanan untuk menghentikan budaya buli siber dan tidak menyokong dari awal budaya ini kerana budaya buli siber meninggalkan impak yang besar kepada mangsa yang dibuli.
Individu juga perlu cakna tentang undang-undang berkaitan buli siber yang terdapat di negara kita supaya lebih berwaspada dalam memberikan pandangan ketika menggunakan media sosial dan dapat menyalurkan maklumat berkaitan pembuli siber di platform yang betul.-UTUSAN
NUR SAKINAH ABDUL KAPOOR@GHAFOOR
Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia










