Tidak kira PM, TPM semua disiasat kalau terlibat rasuah

Tidak kira PM, TPM semua disiasat kalau terlibat rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KENYATAAN bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwa golongan yang paling sukar untuk disiasat ialah mereka yang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, malah Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ternyata tersasar dan tidak berasas.

Faktanya, SPRM telah memulakan siasatan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2015 ketika beliau masih menjawat sebagai Perdana Menteri berhubung kemasukan kira-kira RM2.6 bilion ke akaun bekas Perdana Menteri itu sehingga beliau dibawa ke muka pengadilan.

Bukan setakat itu, pada Julai 2018, SPRM juga menyiasat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi kes dana Yayasan Akalbudi tetapi beliau dilepaskan daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram, namun siasatan baharu tidak pernah diumumkan sebagai berakhir.

Itu tidak termasuk siasatan terhadap pelbagai pihak lain termasuk menteri atau bekas menteri daripada pelbagai parti sama ada kerajaan dan pembangkang.

Hakikatnya, SPRM tidak pernah mempunyai pilihan dan melaksanakan polisi siasatan terpilih. Sesiapa sahaja yang menyebabkan kerugian atau ketirisan dana kerajaan atau awam akan disiasat. Tohmahan terhadap SPRM seumpama ini sudah menjadi satu kelaziman oleh pihak tertentu yang mempunyai agenda politik mahupun agenda lainnya.

Berhubung dakwaan seorang anak kepada individu bergelar Tun telah diugut penjara lima tahun oleh pegawai SPRM sekiranya tidak mengisytiharkan harta, umum seharusnya faham mengenai prosedur standard operasi dan undang-undang yang terkandung dalam Kuasa Memperoleh Maklumat dalam Seksyen 36(1) dan 36(2) Akta SPRM 2009.

Justeru, SPRM harus meneruskan siasatan kes-kes rasuah dan salah guna kuasa mengikut peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasa agensi berkenaan tidak kira kes berkenaan melibatkan orang awam, ahli politik atau orang kenamaan.

SPRM harus menjadi sebuah badan bebas yang diyakini oleh rakyat bagi menjadikannya profesional, relevan dan efisien. – UTUSAN

ROSDI AMIR
Setiausaha Agung Pemerhati
Rasuah Malaysia (MCW)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN