SAUDARA PENGARANG,
KENYATAAN Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen merupakan satu tamparan besar kepada pekerja di sektor kerajaan.
Pada tahun 2020, kerajaan menjalankan dasar memberhentikan elaun kritikal yang sebelumnya diberikan kepada kakitangan kerajaan sektor penting seperti perubatan dan perundangan.
Terkini, keputusan kerajaan untuk tidak menawarkan lagi skim berpencen kepada seluruh kakitangan awam lantikan baharu merupakan satu keputusan yang amat membimbangkan. Beberapa faktor perlu dilihat iaitu dari segi gaji yang lebih rendah dari sektor swasta, manfaat yang kurang serta keterjaminan kehidupan untuk masa akan datang.
Ada pendapat yang mengatakan bahawa wang yang terkumpul di dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh menampung kehidupan pekerja setelah sampai umur persaraan.
Namun demikian, dalam keadaan ekonomi sekarang, ramai bekas pekerja swasta berdepan masalah kekurangan wang saraan melalui KWSP apabila tidak mencapai jumlah sasaran minimum RM 240,000. Ada juga masalah pesara yang tidak mempunyai kemahiran dalam menguruskan wang sehingga kesemua wang habis dalam jangka masa dua hingga tiga tahun.
Seterusnya, jawatan-jawatan di sektor kerajaan dilihat sebagai pekerjaan yang memberikan jaminan serta keistimewaan dengan skim berpencen. Disebabkan itu, kakitangan awam memilih untuk bekerja di sektor kerajaan walaupun menyedari gaji yang diberikan adalah kurang dari sektor swasta.
Kita juga harus melihat sektor pekerjaan awam yang kritikal seperti tentera, polis, bomba dan yang lain yang mana gaji pegawai rendahnya tidak membolehkan caruman KWSP.
Perubahan dasar skim pencen ini harus dikaji semula dan dibincangkan dengan badan-badan tertentu seperti Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan perlu diadakan sesi libat urus bersama kakitangan awam secara terbuka supaya dapatan dari perbincangan tersebut boleh memberikan solusi yang lebih baik.
Tentu sekali skim pencen boleh dihentikan, namun waktunya belum sesuai dengan keadaan ekonomi sekarang serta kekurangan kemahiran pekerja dalam menguruskan wang KWSP secara baik.-UTUSAN
DR. SAFIAH OMAR
Fakulti Perniagaan dan Ekonomi
Universiti Malaya










