SAUDARA PENGARANG,
KEPUTUSAN Kementerian Pendidikan berkaitan dengan Pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) menarik pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat. Saya percaya tindakan ini merupakan satu langkah progresif dalam memartabatkan penguasaan bahasa Melayu dan pada masa sama, meningkatkan mutu pendidikan bahasa Inggeris.
Hakikatnya, Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris boleh dilihat sebagai satu langkah ke arah memastikan kecekapan pelajar dalam kedua-dua bahasa ini.
Sangat tepat apabila Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menekankan bahawa pelaksanaan DLP perlu memenuhi kriteria-kriteria tertentu, termasuk penguasaan bahasa Melayu. Saya bersetuju dengan pandangan beliau bahawa kecemerlangan dalam bahasa ibunda itu adalah asas kepada pembangunan pendidikan di Malaysia.
Penting bagi kita memastikan bahawa pelajar yang mengikuti DLP memiliki penguasaan asas bahasa Melayu yang kukuh agar mereka dapat bersaing di peringkat global tanpa mengabaikan identiti kebudayaan negara.
Langkah-langkah yang diambil untuk menjaga pelaksanaan bahasa ibunda di sekolah vernakular adalah langkah yang bijaksana. Kita perlu sedar bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan sebagai rakyat, kita perlu menerima kepelbagaian dalam bahasa dan kebudayaan.
Kenyataan bahawa terdapat isu beberapa murid dalam DLP tidak mencapai tahap penguasaan asas bahasa Melayu adalah satu tindakan yang jujur. Oleh itu, tindakan KPM untuk memastikan sekolah-sekolah melaksanakan DLP mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan adalah langkah yang bijaksana.
Garis panduan ini, termasuk mengenai peluang bagi murid-murid lain untuk mengikuti mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa kebangsaan penting bagi memastikan keadilan dalam sistem pendidikan.
Saya percaya bahawa keputusan ini adalah hasil daripada pertimbangan teliti dan keprihatinan terhadap perkembangan pendidikan negara.
Sebagai rakyat yang prihatin terhadap pendidikan, saya juga berharap agar kementerian terus memantau pelaksanaan DLP dan memberikan penerangan yang mencukupi kepada pentadbiran sekolah.
Saya juga mengalu-alukan keputusan kementerian yang sentiasa terbuka kepada cadangan dan inisiatif lanjut dari masyarakat, termasuklah melibatkan mereka dalam sesi dialog bersama pemegang taruh.-UTUSAN
ABDUL RAZAK AHMAD
Shah Alam










