Lambakan unsur lucahdi media boleh runtuhkan nilai masyarakat

Lambakan unsur lucah di media boleh runtuhkan nilai masyarakat

TERDAPAT lambakan iklan dan filem yang berunsur lucah ditayangkan di pawagam dan kaca televisyen.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MENGIKUT teori kesan media yang diasaskan oleh George Gerbner pada 1979 melalui Cultivation Theory, menyatakan bahawa semakin kerap seseorang menonton televisyen, semakin mudah visual tersebut menyerap masuk dan mempengaruhi psikologi penonton.

Secara saintifik, ini berpunca daripada pemaparan secara audio dan visual yang halus dan berupaya untuk mempengaruhi pemikiran kognitif penonton dalam jangka masa panjang. Kesan ini menjadi lebih parah sekiranya ditonton oleh kanak-kanak yang belum cukup matang untuk menilai baik dan buruk apa yang ditonton. Bagi remaja, apa yang ditonton pula akan lebih berpengaruh disebabkan faktor pertumbuhan biologi dan psikologi mereka ketika itu yang lebih kepada sifat ingin mencuba.

Sekiranya disemak uslub penceritaan dalam al-Quran, peristiwa Nabi Yusuf dibuang ke dalam perigi tidak diceritakan secara terperinci kerana salah satu hikmahnya adalah supaya masyarakat tidak dapat mencontohi langkah demi langkah bagaimana perkara itu terjadi. Begitu juga peristiwa Nabi Yusuf digoda isteri Al-Aziz tidak diterangkan secara terperinci supaya hanya pengajaran yang diambil tanpa perlu diperincikan yang kemudiannya mampu mempengaruhi minda bawah sedar manusia.

Sekalipun ada yang mungkin berpendapat bahawa filem penting bagi menunjukkan realiti sebenar dan mendidik masyarakat dengan nilai baik, tetapi nilai buruk yang ditayangkan benar-benar memberi kesan kepada jiwa penonton.

Pengarah filem sering berhujah bahawa filem memberi pengajaran dengan membawa nilai moral di babak terakhir dengan menunjukkan adegan si pelaku menerima balasan dan bertaubat, tetapi sayangnya, minda bawah sedar penonton menyerap unsur dan nilai negatif di sepanjang filem ditayangkan. Hal ini jelas tidak sesuai dengan konsep Islam yang tidak menganjurkan manusia terus bermaksiat dan mengharapkan taubat di hujung waktu.

Penerbit filem juga harus menyedari bahaya ini dan jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata daripada produksi filem tersebut. Tindakan ini merupakan suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab yang meruntuhkan nilai Islam secara sedar mahu pun tidak.-UTUSAN

DR. ATIFAH AHMAD YUSOFF
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN