Jadikan bekerja dari rumah sebagai pilihan

Jadikan bekerja dari rumah sebagai pilihan

MEMAHAMI bekerja dari rumah (BDR) adalah penting memandangkan kemungkinan amalan kerja ini berkembang secara global.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PANDEMIK Covid-19 menyebabkan bekerja dari rumah (BDR) menjadi norma di Malaysia. Pelaksanaan BDR adalah mencabar dalam beberapa industri kerana sebahagian pekerjaan menuntut pekerja hadir secara fizikal pada masa tertentu. Ini memberi kesukaran kepada majikan untuk merancang strategi BDR yang berkesan.

Walau bagaimanapun, syarikat yang gagal menerima perubahan, terutamanya semasa pandemik akan menghadapi risiko untuk berdaya saing.

Sebelum pandemik Covid-19, BDR telah lama diamalkan di negara Barat. Menurut laporan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) pada 2020, BDR dilaksanakan sebanyak 57.2 peratus di Sweden pada 2015 dan 25 peratus di Portugal dan Itali pada tahun yang sama.

Walau bagaimanapun, BDR jarang dilaksanakan di Asia. Di India, BDR adalah keistimewaan yang disediakan oleh syarikat-syarikat besar untuk pekerja atasan yang terpilih.

Seperti kebanyakan negara lain, Malaysia menghadapi cabaran unik dalam melaksanakan BDR. Walaupun ada pekerja yang berjaya menyesuaikan diri, tetapi masih ada pekerja yang bergelut dengan norma baharu.

Walau bagaimanapun, BDR memerlukan anjakan paradigma dan kepimpinan baharu secara maya. Pihak pengurusan perlu membangunkan budaya pemerkasaan pekerja yang kukuh, iaitu pekerja berasa diberi kuasa dan dipercayai untuk menyelesaikan kerja mereka.

Budaya pemerkasaan pekerja merupakan proses berterusan yang memerlukan masa dan komitmen. Kecuaian menguruskan pekerja boleh menjejaskan prestasi dan kepuasan kerja. Dengan dasar dan amalan pengurusan yang baik, BDR membolehkan organisasi dan pekerja bersedia dengan sebarang keadaan yang drastik terutama semasa krisis berlaku.

Sehingga kini, syarikat-syarikat Malaysia agak perlahan untuk melabur dalam teknologi jarak jauh dan BDR tidak diamalkan secara meluas selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir. Pelaburan dengan teknologi jarak jauh seperti Virtual Desktop Infrastructure (VDI) dan cloud-based End User Computing (EUC) bukan lagi satu pilihan tetapi keperluan untuk meningkatkan prestasi, produktiviti dan kepuasan pekerja.

Latihan kepimpinan dan kesejahteraan mental harus dilaksanakan untuk menyokong amalan BDR. Dasar yang baik adalah penting untuk membolehkan syarikat dan pekerja mendapat manfaat daripada BDR.

Memahami BDR adalah penting memandangkan kemungkinan amalan kerja ini berkembang secara global. Kembali bekerja di pejabat pada masa sekarang tidak harus menutup ruang untuk memperbaiki BDR. Memansuhkan BDR secara total adalah tindakan kurang bijak. – UTUSAN

DR. JURAIFA JAIS
Kolej Pengajian Siswazah (COGS), Universiti
Tenaga Nasional (UNITEN)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN