Anggap sahaja pekerjaan sebagai amal jariah

Anggap sahaja pekerjaan sebagai amal jariah

KEBANYAKAN imam yang bertugas di masjid mukim atau kariah adalah secara sambilan dan menerima elaun bayaran setiap bulan. – GAMBAR HIASAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Saya ingin mengulas kenyataan Mohd Fadli Mohamed Salleh atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fadli Salleh tentang cadangan supaya menyelaras atau mewujudkan skim gaji khusus kepada imam, tok bilal serta tok siak agar mereka dapat menikmati kemudahan dan bayaran setimpal dengan rutin tugas.

Umumnya, Cikgu Fadli mungkin kurang arif mengenai status jawatan imam atau pegawai yang ditempatkan di mukim atau kariah seluruh negara.

Tugasan imam contohnya imam rawatib yang ditempatkan di masjid-masjid negeri, masjid jamek di kawasan bandar dan masjid daerah adalah mereka yang dilantik di bawah Skim Perkhidmatan Pegawai Hal Ehwal Islam bertaraf tetap.

Sementelah imam atau pegawai-pegawai masjid yang berkhidmat secara sukarela dilantik di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Negeri. Proses pelantikan biasanya disokong atau dicadangkan oleh pihak jawatankuasa mukim atau kariah sebelum disahkan pelantikan.

Kebanyakan imam yang bertugas di masjid mukim atau kariah hanya menerima elaun bayaran setiap bulan. Tugasan mereka bukanlah sepenuh masa.

Manakala peruntukan atau bayaran elaun bulanan kepada semua pegawai masjid seluruh negara disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang kemudiannya disalurkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri.

Makanya tidak timbul sama sekali kebajikan dan kepentingan golongan ini diabaikan memandangkan pelantikan jawatan tersebut adalah bersatus sambilan atau sukarela sahaja.

Ia tidak sedikit merendahkan martabat mereka sebaliknya sumbangan golongan ini mendapat penghormatan dan pengiktirafan daripada masyarakat setempat.

Jadi bukanlah satu alasan yang mewajarkan imam atau pegawai-pegawai masjid diberikan imbuhan yang lebih tinggi atau harus menikmati kemudahan yang serupa seperti mana yang dinikmati oleh penjawat awam lain.

Justeru, selaku imam atau pegawai masjid usahlah mengeluh kerana tugasan yang kalian lakukan merupakan salah satu sumbangan khidmat bakti terhadap anak kariah dan ia satu amalan yang menjemput barakah.-UTUSAN

CUCU TOK JANGGUT
Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×