Pempengaruh atau penunggang agama?

Pempengaruh atau penunggang agama?

ORANG ramai perlu menilai secara kritis, kredibiliti dan niat pempengaruh sebelum terlibat sepenuhnya dengan kandungan mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENTING untuk membezakan antara pempengaruh Islam tulen dengan mereka yang mungkin mengeksploitasi platform untuk kepentingan peribadi. Inilah yang dilabelkan sebagai penunggang agama.

Oleh itu, pengguna perlu menilai secara kritis, kredibiliti dan niat pempengaruh sebelum terlibat sepenuhnya dengan kandungan mereka.

Mengekalkan imej positif dan mengelakkan daripada dilabel sebagai penunggang agama merupakan satu cabaran besar kepada pempengaruh dalam apa jua bidang termasuk berkaitan Islam.

Sebagai pempengaruh Islamik, mereka tidak terlepas daripada melakukan kesilapan sehingga ada diantara dilabel penunggang agama.

Selain itu, mengimbangi peluang komersial dengan mengekalkan keaslian dan menyelaraskan nilai agama sememangnya satu tugas yang sukar kerana ia mungkin menimbulkan persoalan tentang motif dan komitmen pempengaruh terhadap nilai agama.

Bukanlah menjadi satu kesalahan besar untuk menerima peluang komersial, tetapi mestilah dengan niat yang betul. Namun, tidak dinafikan bahawa terdapat juga sesetengah pempengaruh yang menjual agama demi meraih keuntungan peribadi.

Sebagai contoh, ada sesetengah individu mengambil kesempatan ke atas agama dengan menaikkan harga madu lebah dengan alasan madu tersebut sudah dibacakan beberapa potongan ayat al-Quran.

Harga asalnya RM20, tetapi dinaikkan menjadi RM40 dan mengatakan bahawa madu tersebut adalah madu paling mujarab walhal Allah sudah menjelaskan khasiat madu lebah dalam al-Quran.

Hal ini adalah salah satu punca masyarakat sekarang mudah melabelkan pempengaruh Islamik ini sebagai penunggang agama kerana golongan seperti ini banyak menggunakan agama demi meraih keuntungan peribadi.

Mencapai keseimbangan antara keuntungan kewangan dan mengekalkan keaslian kandungan dakwah boleh menjadi tugas yang rumit bagi pempengaruh Islamik, tidak semua adalah penunggang agama.

Ada pempengaruh yang benar-benar berjihad, berdakwah dan berusaha menyebarkan kebaikan kepada seluruh umat Islam.

Namun, cabaran-cabaran untuk menjadi pempengaruh Islamik ini mungkin sedikit sebanyak membawa mereka ke arah penunggang agama jika tiada sumber rujukan yang sah dan betul.

Pada akhirnya, berbalik pada tujuan asal iaitu tugas seorang pempengaruh Islamik bertujuan untuk memberi inspirasi, menyebarkan kebaikan dan menyampaikan ilmu manakala penunggang agama pula tidak ikhlas dalam menyebarkan kebaikan malah menggunakan nama agama bagi kepentingan diri sendiri.

Kuncinya terletak pada cara pendekatan pempengaruh tersebut dalam berdakwah. – UTUSAN

NUR SYAHIRAH ASRI
Pelajar Jurusan Perakaunan, Fakulti Ekonomi dan
Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya