Pastikan kanak-kanak Palestin tidak dilenyapkan Zionis

Pastikan kanak-kanak Palestin tidak dilenyapkan Zionis

KANAK-KANAK Palestin adalah yang paling teruk terjejas akibat pengeboman intensif oleh tentera Israel di Semenanjung Gaza dari 7 Oktober hingga 7 November lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

WUJUD kebimbangan terhadap peningkatan operasi udara, darat dan laut oleh tentera Israel di Semenanjung Gaza dan kesan yang tidak wajar terhadap kanak-kanak Palestin.

Seperti yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres bahawa Gaza bakal menjadi “kuburan untuk kanak-kanak”.

Saya menulis untuk menggesa seluruh pemimpin Malaysia dan dunia untuk menyenaraikan Angkatan Pertahanan Israel (IDF) sebagai entiti yang melakukan pelanggaran berat terhadap kanak-kanak dalam konflik bersenjata (yang dipanggil senarai kehinaan) berkuat kuasa serta-merta dan mengutamakan perlindungan kanak-kanak dalam tindak balas terhadap konflik.

Tentera Israel telah melakukan kekejaman serius yang bersifat jenayah perang yang terpaling kejam dan hina. Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, di tengah-tengah pengeboman intensif oleh tentera Israel antara 7 Oktober dan 7 November lalu, sekurang-kurangnya 4,237 kanak-kanak Palestin telah terbunuh iaitu mewakili lebih 40 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian.

Jumlah kanak-kanak yang terbunuh di Gaza dalam tempoh tiga minggu selepas 7 Oktober melebihi jumlah kanak-kanak yang direkodkan terbunuh setiap tahun di zon konflik global sejak 2019.

Serangan ganas Israel telah merosakkan sekurang-kurangnya 278 kemudahan pendidikan dan 120 kemudahan kesihatan. Pemotongan kuasa, bahan api dan elektrik serta penafian yang disengajakan terhadap semua kemudahan asas. Penyaluran bantuan kemanusiaan juga sangat tidak mencukupi.

Tindakan sama dengan jenayah perang ini juga meletakkan nyawa kanak-kanak dalam bahaya. Keadaan menjadi semakin rumit oleh ketidakupayaan hampir mana-mana kanak-kanak yang sakit dan cedera untuk pergi mendapatkan rawatan perubatan di luar Gaza.

Wujud juga kebimbangan terhadap operasi darat tentera di kawasan berhampiran hospital dan permintaan pihak berkuasa Israel supaya hospital dipindahkan.

Tiada tempat selamat untuk pesakit pergi dan amat sukar bagi mereka untuk mendapat sokongan untuk terus hidup. Malah, bayi yang memerlukan penjagaan khas di dalam inkubator, hampir pasti akan menemui kematian.

Membunuh dan mencacatkan kanak-kanak, penculikan kanak-kanak, serangan ke atas sekolah dan hospital dan penafian akses kemanusiaan adalah semua pelanggaran berat terhadap kanak-kanak dalam konflik bersenjata, menurut resolusi Majlis Keselamatan 1612 dan Resolusi mengenai Kanak-kanak dan Konflik Bersenjata (CAAC).

PBB telah mengesahkan beribu-ribu pelanggaran berat yang dilakukan terhadap kanak-kanak di wilayah Palestin yang diduduki Israel melalui rangka kerja agenda CAAC.

Malaysia dan negara-negara lain perlu memanfaatkan jawatan dan jaringan hubungan antarabangsa dengan pihak sekutu mereka untuk menyokong tindakan konkrit bagi melindungi kanak-kanak, wanita dan warga tua.

Saya mengharapkan komitmen tidak berbelah bahagi semua pihak untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak, wanita dan warga yang terjejas akibat konflik ini.-UTUSAN

MUHAMMAD EHSAN KAMIL MOHAMAD RADZI
Eksekutif operasi penerbangan/Alumni UiTM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya