Mangsa banjir turut alami kesan mental - Utusan Malaysia

Mangsa banjir turut alami kesan mental

ARUS deras ketika banjir boleh membawa risiko yang tinggi terhadap nyawa manusia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SETIAP tahun, fenomena banjir menjadi perkara biasa apabila tibanya musim tengkujuh dek kerana hujan lebat yang berterusan.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), mereka meramalkan hujan lebat berterusan bermula pertengahan November yang akan menyebabkan banjir di kawasan penempatan rendah terutamanya negeri-negeri di Pantai Timur.

Walaupun sudah dianggap biasa kerana banjir ini acap kali melanda setiap tahun, namun ia bukan perkara yang harus dipandang enteng oleh semua orang.

Banjir turut membawa kesan serius terhadap masyarakat dan ekonomi. Banjir yang melanda sesebuah kawasan tidak hanya membawa kesan ketara secara material, tetapi juga kesan mendalam terhadap masyarakat terlibat.

Kehilangan nyawa merupakan salah satu kesukaran terbesar dihadapi mangsa banjir. Arus deras yang membadai kawasan terbabit tidak hanya merugikan harta benda tetapi juga membawa risiko tinggi terhadap nyawa manusia.

Kejadian banjir melibatkan arus deras ganas sering kali menyebabkan tragedi kemanusiaan yang menyedihkan.

Tidak hanya itu, banjir juga meninggalkan impak psikologi berpanjangan terhadap mangsa.

Pengalaman menghadapi situasi genting semasa banjir khususnya apabila nyawa mereka terancam boleh menyebabkan trauma yang berlarutan.

Mangsa mungkin mengalami kebimbangan, ketakutan dan kesan emosi lain yang dapat menjejaskan kesejahteraan mental mereka dalam jangka masa panjang.

Selain itu, pemindahan orang ramai dari rumah mereka menjadi keperluan mendesak semasa banjir. Mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir yang mungkin tidak memenuhi syarat keselesaan hidup harian mereka.

Keadaan ini memberi tekanan tambahan kepada mereka yang sudah mengalami kehilangan dan trauma.

Ketidakpastian terhadap kehidupan sehari-hari, kehilangan tempat tinggal dan keperluan asas menjadi beban berat perlu ditanggung oleh masyarakat yang terjejas.

Tambahan pula, banjir membawa risiko kesihatan yang serius. Air banjir yang tercemar boleh menjadi sarang penyakit air seperti demam denggi dan leptospirosis.

Keadaan yang kacau-bilau dan tercemar ini memberi tekanan tambahan kepada sistem kesihatan.

Pusat kesihatan boleh mengalami kekurangan sumber dan infrastruktur, menyulitkan usaha dalam menyediakan rawatan efektif kepada mangsa.

Banjir merupakan bencana alam yang tidak hanya meninggalkan kesan fizikal tetapi juga membawa impak ekonomi besar kepada masyarakat.

Dari aspek ekonomi, para peniaga, petani dan penternak menjadi golongan paling terjejas akibat tenggelamnya barang niaga, ladang dan kebun mereka. Kehilangan pengeluaran merupakan salah satu impak teruk dihadapi oleh para peniaga.

Oleh kerana perniagaan mereka yang terletak di kawasan terkena banjir, tiada pelanggan datang ke kedai menyebabkan penurunan pendapatan ketara.

Kedai, restoran, dan perniagaan kecil lainnya mungkin mengalami ketidakstabilan ekonomi yang serius.

Petani dan penternak juga mengalami kesusahan ekonomi yang besar. Ladang dan kawasan ternakan yang ditenggelami air banjir menyebabkan kehilangan hasil bumi dan ternakan.

Ini tidak hanya merugikan mereka secara langsung, tetapi juga memberikan sumbangan negatif kepada bekalan makanan tempatan.

Kesukaran untuk menghidupkan semula aktiviti pertanian dan penternakan yang terjejas mungkin mengambil masa lama, menyebabkan ketidakpastian ekonomi dalam jangka masa panjang.

Untuk mengelakkan kesan-kesan negatif ini, semua pihak perlu bersedia lebih awal. – UTUSAN

MUHAMMAD AMIRUDDIN AZMI, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya