Etnik lain harus tonton drama Melayu - Utusan Malaysia

Etnik lain harus tonton drama Melayu

MENJADI kewajipan pemohon pasport fasih bertutur bahasa kebangsaan bagi mengelak timbul syak wasangka. - GAMBAR HIASAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan dengan tegas semua warganegara Malaysia wajib menguasai bahasa Melayu kerana kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan telah terpahat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, menjadi kewajipan mereka fasih bertutur bahasa kebangsaan bagi mengelak timbul syak wasangka teruta­ma ketika memperbaharui pasport dan memohon kewarganegaraan. 

Kenyataan itu dibuat ekoran tular dalam media sosial seorang wanita berkongsi pengalaman diherdik seorang kakitangan lelaki di pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Johor kerana tidak fasih berbahasa Melayu ketika mahu memperbaharui pasport anak perempuannya.

Dalam isu ini, sebenarnya tiada sebarang alasan untuk tidak menguasai bahasa kebangsaan kerana terdapat pelbagai cara boleh digunakan secara mudah.

Seperti kita tahu, drama bersiri kini tidak lagi asing dan telah menjadi salah satu medium hiburan untuk melegakan tekanan, mengisi masa lapang dan pelbagai lagi. 

Drama kini tidak lagi hanya ditayangkan melalui televisyen malahan boleh didapati secara dalam talian menggunakan telefon pintar dan komputer riba. 

Kebiasaannya, remaja antara golongan sering mengikuti perkembangan drama yang sudah dan akan ditayangkan. Antara genre drama  sering mendapat sambutan ialah percintaan, komedi, aksi dan banyak lagi. 

Sekiranya kita melihat dari perspektif selain untuk berhibur, terdapat beberapa kesan positif daripada menonton drama bersiri tempatan termasuk dapat menguasai dan mempelajari bahasa Melayu.

Namun, drama bersiri kini tidak lagi hanya tertumpu kepada drama tempatan, akan tetap  bersifat lebih terbuka kepada negara-negara Asia lain termasuk Korea Selatan, China, Thailand dan negara-negara Barat. 

Tidak dinafikan pendedahan terhadap drama luar negara ini dapat memberikan impak negatif sekiranya ditonton secara berlebihan tanpa kawalan. 

Bagaimanapun, terdapat beberapa kesan positif seperti mengenali budaya baharu dari luar negara, mendapat  sumber inspirasi terutama sekali menguasai dan mempelajari pelbagai bahasa baharu. 

Kita juga sering kali mendengar kebanyakan mereka yang berminat atau fasih dalam sesuatu bahasa asing seperti Korea, Mandarin dan Jepun bermula hanya dengan menonton sebuah drama dari negara diminati. 

Hal ini disebabkan hasil jumlah tontonan drama tersebut yang banyak menjadikan kosa kata digunakannya mudah diserap dalam diri dan sedikit sebanyak menyebabkan mereka petah berbahasa tersebut. 

Kebiasaannya di awal tontonan drama mereka akan cuba memahami setiap dialog perbualan melalui sari kata disediakan dan  setelah menonton beberapa drama bersiri tersebut, mereka akan mula memahami perbualan antara  watak yang dilakonkan tanpa memerlukan bantuan daripada sari kata lagi. 

Di sini kita dapat lihat menonton drama bersiri dapat meningkatkan penguasaan sesuatu bahasa. Akhir kalam, kaedah untuk mempelajari bahasa melalui drama sangatlah dianjurkan kerana ia membolehkan penonton menguasai sesuatu bahasa dengan mudah. – UTUSAN

NUR INSYIRAH SYAIMA’ HAIRUDIN, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya