Data peribadi pelanggan Unifi bocor lagi? - Utusan Malaysia

Data peribadi pelanggan Unifi bocor lagi?

DIKATAKAN dua juta maklumat pelanggan Unifi bocor seperti tersebar dalam media sosial pada tahun lalu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA Oktober lalu, Telekom Malaysia Berhad (TM) memperkenalkan pakej jalur lebar Unifi baharu yang menawarkan pengurangan harga ketara, perkhidmatan gaya hidup tertumpu nilai tambah dan penyelesaian perniagaan bersepadu.

Antara paling menarik adalah pengurangan harga pelan Unifi 100 megabit sesaat (Mbps) daripada harga lama RM129 kepada RM99 sebulan untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia boleh memanfaatkan kelajuan internet yang lebih tinggi pada harga lebih rendah.

Selain itu, terdapat juga Pelan Rahmah dengan kelajuan 30 Mbps daripada harga lama RM89 turun kepada RM69 sebulan yang saya rasa cukup sesuai untuk digunakan oleh kumpulan hendak berjimat cermat seperti golongan berpendapatan rendah (B40).

Cuma menjadi kemusykilan adalah beberapa hari lepas, saya menerima panggilan telefon daripada individu yang mempromosikan pakej sebuah syarikat pesaing TM.

Apa yang peliknya, individu tersebut memaklumkan setelah melakukan semakan terhadap akaun saya, dia mendapati kontrak dengan TM telah tamat dan saya tidak akan didenda jika beralih kepada pakej ditawarkan syarikat lain.

Dia menyatakan saya tidak menghadapi masalah untuk menukar pakej kerana syarikat itu juga berkongsi infrastruktur yang sama dengan TM.

Soalan saya, bagaimana akaun pendaftaran Unifi saya dengan TM boleh diakses oleh syarikat pesaing? Adakah telah berlaku kebocoran data maklumat peribadi pelanggan Unifi sekali lagi?

Tidak silap saya pada tahun lalu, TM mengakui berlaku kebocoran maklumat 250,248 pelanggan Unifi Mobile dan bukannya dua juta seperti didakwa terdiri daripada individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Bagaimanapun, TM menjelaskan, data yang bocor hanya membabitkan nama pelanggan, nombor telefon dan e-mel. – UTUSAN

TIPAH 007, Rawang, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya