Bina bangunan harus ambil kira kajian geologi

Bina bangunan harus ambil kira kajian geologi

KEJADIAN runtuhan tapak pembinaan sebuah gudang logistik di Batu Maung, Bayan Lepas, Pulau Pinang, baru-baru ini. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, lima pekerja asing maut setelah terbabit dalam runtuhan tapak pembinaan sebuah gudang logistik di Batu Maung, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berasa amat terkejut dan kecewa apabila sebuah lagi bangunan yang sedang dalam pembinaan runtuh. Satu suruhanjaya siasatan perlu ditubuhkan segera bagi menyiasat kejadian ini.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) digesa menyiasat dengan menyeluruh insiden yang berlaku dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab dengan kemalangan itu.

Memandangkan tempat kejadian itu berdekatan dengan pantai yang terdiri daripada tanah pasir dan batu kerikil, sebarang struktur yang dibina di kawasan itu perlu dipastikan benar-benar selamat dengan mengambil kira semua langkah keselamatan terutamanya kajian geologi.

Perkara ini perlu diberi perhatian memandangkan sebarang kemalangan akan memberi kesan kepada banyak pihak. Apatah lagi kemalangan itu akan turut menyebabkan pekerja kehilangan nyawa dan mengalami cedera parah.

Memandangkan statistik kematian dalam kemalangan pekerjaan adalah tinggi maka keselamatan pekerja mesti diutamakan. Menurut DOSH, sebanyak 6,793 kemalangan pekerjaan disiasat di Malaysia pada 2020. Daripada jumlah itu terdapat 193 kematian dan 256 hilang upaya kekal yang direkodkan pada tahun itu melibatkan pekerja asing.

Pihak berkuasa perlu menguatkuasakan undang-undang berkaitan secara tegas serta berterusan bagi memastikan semua langkah keselamatan di tapak pembinaan dipatuhi.

Tindakan tegas yang diambil boleh memberikan mesej kepada syarikat pembinaan bahawa undang-undang perlu dipatuhi setiap masa. Ia sesuai dengan notis ‘Utamakan Keselamatan’ yang sering dipamerkan di tapak pembinaan. Pemilik premis perlu bertanggungjawab atas kemalangan yang berlaku.

Dalam dua kes utama di Pulau Pinang, perancah runtuh di jambatan kedua Pulau Pinang dan sirip dinding runtuh di bangunan setinggi 21 tingkat, suruhanjaya siasatan yang ditubuhkan oleh kerajaan Pulau Pinang mendapati terdapat unsur ketidakcekapan dan kecuaian.

Setiap kali berlaku kemalangan, kita akan tertanya-tanya kenapa ia berlaku. Adakah ia cuma suatu kemalangan atau kerana kecuaian? Sekiranya ia disebabkan oleh kecuaian, maka siapakah yang patut dipersalahkan? Pemaju, kontraktor, pekerja binaan atau pihak berkuasa sendiri.

Hanya dengan penguatkuasaan undang-undang secara tegas serta berterusan akan menjadikan pihak bertanggungjawab dalam industri pembinaan serta pihak berkuasa yang berkenaan akan lebih mematuhi undang-undang yang berkaitan.

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) yang bertanggungjawab menjalankan penyelidikan dan membuat cadangan pencegahan kecederaan dan penyakit yang berkaitan dengan pekerjaan perlu lebih banyak mempromosikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.-UTUSAN

MOHIDEEN ABDUL KADER
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya