Internet adalah rekaan manusia paling biadab - Utusan Malaysia

Internet adalah rekaan manusia paling biadab

INTERNET adalah sumber pendidikan utama sekiranya ia dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. – GAMBAR HIASAN/FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

JULAI lalu, telah dikongsi dalam media sosial mengenai satu kajian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2021 yang mendapati 75 peratus daripada remaja di negara ini dikesan pernah menonton video atau melihat pornografi .

Tontonan pornografi­ dan penyebaran ideologi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) saat ini lebih mudah melalui internet khususnya di platform media sosial.

Selain itu, dari masa lalu hingga sekarang, banyak drama dan ­filem terutama dari Barat sering menggambarkan adegan intim dan romantis.

Namun, dalam perkembangan terbaru, banyak drama dan filem yang secara terbuka memasukkan wacana LGBT dalam naratif mereka secara terang-terangan.

Seiring perkembangan teknologi 5G yang membolehkan capaian internet dilakukan lebih pantas akan menyebabkan lambat-laun kerajaan tidak ada pilihan melainkan membuka seluas-luasnya rangkaian internet di negara ini.

Segala macam rangkaian pelan internet berbayar akan masuk ke rumah kita. Pilihan terlalu banyak.

Penonton boleh pilih untuk dihiburkan, dididik, dirangsang nafsunya atau mendapatkan maklumat terbaharu. Dipendekkan cerita, hanya menggunakan hujung jari, pilih mana satu idaman kalbu.

Internet adalah institusi luar biasa. Ia mengubah pola kehidupan manusia dan menentukan jadual hidup, tabiat makan dan hidup berkelamin di sekitarnya.

Seorang penelaah komunikasi pernah berkata, internet adalah rekaan manusia paling penting selepas roda.

Paling istimewa selepas pelakon Hollywood, Marilyn Monroe dan paling biadab selepas pemimpin Jerman, Adolf Hitler.

Internet menjadi tetamu tidak diundang yang menggasak dan mendesak, mencabar dan mengajar sekali gus menghina dan mempersendakan.

Internet mempunyai lesen untuk berbuat apa sahaja kepada manusia. Anehnya, manusia moden tidak boleh hidup tanpa internet.

Anak-anak membesar di hadapannya. Internet turut membentuk nilai dan tabiat kanak-kanak. Ibu bapa yang merintih kerana kesan buruk internet ke atas anak-anak, menghabiskan lebih banyak masa di depan internet daripada anak-anak mereka sendiri.

Internet adalah sumber luar biasa pentingnya. Melalui kecanggihan teknologi dan kepakaran manusia, lintasan imej dan rakaman video dari mana-mana pelosok dunia menyelinap masuk dengan pantas.

Internet adalah sumber pendidikan utama sekiranya ia dimanfaatkan. Atau ia boleh menjadi musuh nombor satu manusia sekiranya ia dibiarkan untuk melalaikan, mengkhayalkan dan merosakkan.

Perbincangan tentang pengaruh dan kesan internet ke atas manusia bukan baharu. Tidak ada sesiapa yang mena­fikan pengaruh internet ke atas manusia.

Tetapi yang lebih penting adalah untuk mengekang dan mengeksploit medium bernama internet itu, bukan membenarkan ia mengekang dan mempergunakan kita.

Kita tidak boleh menolak internet semata-mata kerana sebahagian unsurnya tidak cocok dengan cita rasa peribadi kita.

Begitu juga kita tidak semestinya lebih Melayu atau lebih Islam dengan membuang segala peranti untuk mengakses internet ke dalam sungai.

Kita tidak boleh menolak internet semata-mata kerana kemasukan pornogra­fi dan ideologi LGBT di dalamnya.

Gejala buruk itu akan terus menghantui pengguna laluan lebuh raya maklumat itu. Ia akan merisaukan ibu bapa dan para moralis.

Kini yang ada adalah membuat pilihan. Di sinilah peranan ibu bapa untuk memimpin anak-anak melalui rentas lebuh raya maklumat seperti internet. Itu pun kalau ibu bapa tidak terlalu sibuk. – UTUSAN

ARIF MUSTAQIM MD. SALLEH, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya