Golongan terkaya lepas ‘racun’ ke ruang udara bumi

Golongan terkaya lepas ‘racun’ ke ruang udara bumi

SATU perjalanan jet peribadi yang dekat akan mengeluarkan lebih banyak karbon berbanding apa yang dilepaskan oleh orang biasa sepanjang tahun. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KAJIAN oleh Oxfam International iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi tumpuan kepada pembasmian kemiskinan di seluruh dunia mendapati golongan terkaya yang meliputi satu peratus penduduk dunia telah melepaskan lebih banyak karbon ke atmosfera bumi berbanding 66 peratus penduduk termiskin.

Golongan terkaya bertanggungjawab melakukan pencemaran karbon apabila mencuri sumber-sumber semula jadi planet kita untuk memacu gaya hidup mewah mereka.

Satu perjalanan jet peribadi yang dekat akan mengeluarkan lebih banyak karbon berbanding apa yang dilepaskan oleh orang biasa sepanjang tahun. Mereka mengorbankan kita di atas ketamakan untuk hidup secara mewah.

Untuk melakukan perubahan kita harus sedar beberapa fakta. Pertama, pada 2019, golongan terkaya yang meliputi satu peratus penduduk dunia bertanggungjawab terhadap 16 peratus pelepasan karbon sedunia, di mana ia sama dengan pelepasan karbon oleh lima bilion penduduk miskin yang meliputi 66 peratus penduduk dunia.

Kedua, pelepasan karbon golongan terkaya dijangka mencecah lebih 22 kali ganda lebih besar daripada had selamat pelepasan karbon yang dibenarkan pada 2030 jika kita hendak mengekalkan suhu bumi supaya tidak meningkat melebihi had selamat 1.5 darjah Celsius daripada suhu normal sedia ada.

Ketiga, pelepasan karbon oleh golongan terkaya pada 2019 adalah mencukupi untuk menyebabkan kematian 1.3 juta orang akibat pemanasan global.

Realiti dunia yang amat tidak adil pada hari ini adalah negara-negara dan golongan kaya yang mendorong krisis iklim kerana gaya hidup mewah mereka, tetapi negara-negara berpendapatan rendah, golongan miskin dan kumpulan-kumpulan masyarakat terpinggir yang menanggung sebahagian besarnya kesan buruk krisis iklim.

Ini membuktikan dunia sedang menghadapi krisis berkembar perubahan iklim akibat sikap tidak bertanggungjawab golongan terkaya dan ketidaksamarataan yang tidak terkawal antara orang kaya dan miskin.

Kesan perubahan iklim sedang dirasai di semua bahagian dunia dan oleh kebanyakan orang tetapi hanya individu dan negara terkaya yang mempunyai kekayaan, kuasa dan pengaruh untuk melindungi diri mereka daripada bencana itu.

Golongan terkaya boleh melakukan lebih banyak perkara untuk melindungi diri mereka daripada perubahan iklim. Mereka cenderung untuk tinggal di dalam perumahan lebih selamat, di atas tanah yang kurang terdedah kepada banjir atau bencana alam lain dengan alat penyaman udara di mana pelepasan karbon dioksida mereka mencecah 5.9 bilion tan pada 2019.

Mereka juga selalunya dapat bergantung pada simpanan atau insurans untuk membina semula sebarang kerosakan yang timbul. Sementara itu, golongan yang miskin dan kumpulan-kumpulan masyarakat terpinggir lain cenderung untuk tinggal di dalam perumahan yang lebih teruk, di mana selalunya sesak, lebih terdedah kepada banjir dan tiadanya akses kepada penyaman udara.

Sebenarnya dengan kuasa dan kekayaan itu datangnya tanggungjawab yang besar iaitu untuk tidak melepaskan lebih banyak karbon ke atmosfera bumi bagi mengekalkan suhu bumi supaya tidak meningkat melebihi had selamat 1.5 darjah Celsius daripada suhu normal sedia ada.

Oleh itu, negara-negara kaya, syarikat-syarikat korporat besar dan golongan terkaya harus membayar kos perubahan iklim dan memberikan pampasan kepada pihak yang terkesan daripada pelepasan karbon secara besar-besaran.
Mereka perlu dikenakan pelbagai cukai termasuk cukai kekayaan, cukai pendapatan teratas dan cukai keuntungan durian runtuh.-UTUSAN

OXFAM INTERNATIONAL
Nairobi, Kenya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya