SAUDARA PENGARANG,
MALAYSIA diklasifikasikan sebagai sebuah negara maritim berdasarkan kepada geografinya yang strategik di laluan perdagangan dan pengangkutan antarabangsa.
Selain itu, ia didukung oleh kedudukan Malaysia berhampiran Selat Melaka yang merupakan koridor perdagangan dunia. Oleh itu, industri maritim mempunyai potensi besar dalam meningkatkan kemajuan dan kemakmuran negara.
Secara amnya, industri maritim merangkumi beberapa sektor seperti pelabuhan dan perkapalan, pelancongan dan perikanan. Kesemua sektor ini mampu memberikan impak positif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia selaras dengan matlamat mencapai status negara maju.
Oleh itu, sektor maritim seharusnya bersedia untuk menyesuaikan diri dan mengambil pelbagai langkah strategik termasuk pemerkasaan sumber manusia.
Faktor peredaran arus pemodenan dunia telah menagih bakat-bakat baharu yang berkemahiran tinggi dan sentiasa beradaptasi dengan dunia yang cepat berubah.
Belum sempat kita membudayakan konsep Revolusi Industri 4.0, kini konsep Revolusi Industri 5.0 (IR 5.0) pula mula diterapkan di banyak negara.
IR 5.0 adalah konsep yang berkaitan dengan aplikasi perkembangan teknologi terkini untuk menyokong penciptaan sistem pendigitalan dan automasi dalam sesebuah industri terutamanya dari segi pengeluaran.
Secara khususnya, IR 5.0 cenderung untuk menggabungkan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT) dan teknologi robotik dengan kepakaran manusia dalam meningkatkan pembangunan sistem pengeluaran yang lebih cekap, fleksibel dan mampan.
Oleh itu, pembangunan bakat dalam sektor maritim perlu segera diperkasakan supaya selari dengan IR 5.0. Modal insan berkemahiran tinggi amat diperlukan oleh industri terutamanya dalam bidang reka bentuk dan pembangunan sistem perisian serta pengendali program AI.
Malah, untuk memenuhi keperluan IR 5.0, graduan perlu dipersiapkan menerusi sistem pendidikan tinggi dan latihan yang mencukupi. Dalam Belanjawan 2024, telah diperuntukkan sejumlah RM6.8 bilion bagi Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Daripada jumlah itu, sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi menyediakan pensijilan profesional yang diiktiraf industri kepada graduan TVET bermula tahun depan.
Disamping itu, Pembangunan Sumber Manusia Berhad pula akan memanfaat dana RM1.6 bilion untuk menyediakan 1.7 juta tawaran latihan. Sebanyak RM20 juta pula dikhaskan untuk manfaat pelatih yang mengikuti bidang maritim, kesenian dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih bagi sektor aeroangkasa.
Sehubungan dengan itu, peluang ini perlu direbut dan dimanfaatkan oleh universiti dan penyedia latihan untuk memastikan kesinambungan bakat dalam memenuhi permintaan sektor maritim negara.
Latihan dan pembangunan kerjaya amat penting dalam kebolehpasaran graduan dan bagi meningkatkan tahap kecekapan dan produktiviti pekerja di peringkat pertengahan dan profesional.
Program TVET diyakini dapat mengetengahkan gabungan pengetahuan serta kemahiran vokasional dan teknikal bersesuaian dengan keperluan industri semasa dan masa akan datang.
Usaha kerajaan Malaysia ini harus disambut baik oleh agensi dan pemain industri untuk memastikan industri maritim kekal utuh melalui pembangunan profesional serta meningkatkan kapasiti dan kebolehpasaran modal insan dalam sektor ini.
Program TVET bakal menjadi nilai tambah dalam laluan kerjaya kerana ia meliputi program kemahiran semula dan peningkatan kemahiran melalui pensijilan profesional.-UTUSAN
DR. IZYAN MUNIRAH MOHD. ZAIDEEN
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)