SAUDARA PENGARANG,
SAYA mengikuti rapat perkembangan Profesor Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid selaku Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) Pulau Pinang merangkap Exco Pembangunan Islam, Pendidikan dan Perpaduan.
Pelantikan tersebut tidak dianggap asing ekoran Mohamad dikenali ramai dalam kalangan penjawat awam negeri ini memandangkan beliau sebelum ini merupakan Rektor Kolej Islam Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB) yang telah berkhidmat selama empat tahun.
Jawatan selaku seorang Rektor dan ahli akademik pernah dipegang sebelum ini sangat relevan dengan portfolio yang dipertanggungjawabkan ke atasnya.
Secara peribadi, beliau diyakini boleh dan mampu menggalas ketiga-tiga portfolio yang diamanahkan kepadanya dengan cemerlang. Lagipun, bukanlah masalah besar untuk beliau merealisasikan Pelan Pembangunan Islam 10 Tahun Pulau Pinang yang ditinggalkan bekas TKM1, Datuk Ahmad Zakiyudin Abdul Rahman.
Biarpun rutin tugasan hariannya semakin sibuk, namun sedikitpun tidak akan menjejaskan tanggungjawab beliau selaku TKM1. Sebaliknya masih punya waktu terluang di sebelah petang turun ke padang bertemu dan menyantuni rakyat terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Maung yang dimenanginya.
Malah pelantikannya sebagai TKM1 mendapat sokongan padu pimpinan kerajaan perpaduan dan diterima baik oleh orang Melayu Pulau Pinang.
Sempat juga beliau menitipkan pesanan buat rakyat negeri ini bersempena sambutan Hari Malaysia ke-60 melalui ucapannya yang mewakili pentadbiran kerajaan negeri. Antara lain menyeru dan mengajak generasi hari ini mengikuti cara nenek moyang dahulu agar terus bersatu hati serta memelihara keamanan dan kedamaian telah dikecapi sekian lama sehingga hari ini.
Mohamad juga bakal memberi tumpuan terhadap anak muda apabila dasar dan polisi baharu buat golongan ini akan diperkenalkan bagi memacu pertumbuhan ekonomi orang Melayu di negeri itu.
Namun begitu, kesannya akan dapat dilihat dalam tempoh 100 hari dari sekarang dan berharap beliau berjaya melakukannya seiring matlamatnya, iaitu ke arah perpaduan, kestabilan dan kemakmuran.-UTUSAN
MUZAKKIR HARON
Pulau Pinang