Tingkat motivasi pulih alam sekitar melalui gamifikasi

Tingkat motivasi pulih alam sekitar melalui gamifikasi

GAMIFIKASI dapat menggalakkan orang ramai menjaga alam sekitar melalui aktiviti kitar semula.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

RATA-RATA masyarakat tahu dan sedar tentang bahaya bahan pencemar kepada hidupan terutama terhadap tumbuhan, haiwan dan manusia. Meskipun begitu, tahap motivasi masyarakat dalam memelihara dan memulihara alam sekitar masih rendah.

Ini boleh diatasi melalui gamifikasi. Konsep gamifikasi boleh diaplikasi melalui elemen-elemen seperti lencana, papan pendahulu, anugerah dan imuniti. Sebagai contoh, motivasi masyarakat boleh ditingkatkan melalui lencana yang dikumpul setiap kali mereka menghantar barangan terpakai ke pusat kitar semula.

Ini bukan sahaja akan meningkatkan motivasi, malah markah mereka kumpul boleh digunakan untuk membeli barang keperluan harian dari kedai runcit berhampiran yang menyertai usaha ini.

Konsep seperti role player dalam pelantar gamifikasi juga dapat menggalakkan komuniti berfikir tentang impak tindakan mereka terhadap alam sekitar seterusnya menggalakkan tabiat berfikir secara kritis.

Penggunaan aplikasi-aplikasi ini turut dapat meningkatkan pengetahuan pengguna tentang kepentingan tabiat kitar semula dan penjagaan alam sekitar.

Terdapat juga ciri yang mana pengguna dapat melontarkan idea mereka tentang penjagaan alam sekitar. Ini akan menghasilkan komuniti proaktif yang sentiasa peka dengan persekitaran mereka melalui pendekatan lokal.

Walau apa pun jua, setiap aplikasi yang ingin dibangunkan perlu mengambil kira beberapa keadaan. Antaranya, aplikasi tersebut perlu bersesuaian dengan keperluan masyarakat setempat seperti jarak pusat kitar semula, bagaimana meningkatkan tahap pembangunan sosial, alam sekitar dan ekonomi masyarakat.

Seterusnya bagaimanakah pendekatan ini dapat dikekalkan atau ditingkatkan pada masa hadapan? Kesemua persoalan ini perlu diambil kira semasa proses pembangunan aplikasi tersebut dijalankan.

Apa yang dapat disimpulkan di sini adalah para pemegang taruh perlulah peka dan sentiasa berinovasi dalam menggalakkan masyarakat terlibat dalam inisiatif kitar semula barang-barang terpakai. Pendekatan yang dilaksanakan perlulah mengambil kira keperluan masyarakat serta impaknya terhadap mereka bagi jangka masa pendek dan panjang.

Akhir sekali, latihan dan pendidikan yang berterusan dalam kalangan masyarakat perlu diberi perhatian bagi memastikan kemapanan proses kelestarian alam sekitar dapat dilaksanakan dengan baik.-UTUSAN

DR. NOR AISHAH ABDULLAH dan DR. ZATI HAKIM AZIZUL HASAN
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya