SAUDARA PENGARANG,
KITA sedia maklum bahawa kuasa Peguam Negara adalah di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan beliau hendaklah mempunyai kuasa boleh dijalankan menurut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.
Peruntukan undang-undang berkenaan mampu mengubah nasib orang kena tuduh (OKT) sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman walaupun dalam keadaan wujudnya kes prima facie (bukti yang munasabah).
Kebelakangan ini seakan sudah menjadi suatu amalan istimewa kuasa Jabatan Peguam Negara dipergunakan dalam sama ada dilepas serta dibebaskan (DNA) atau dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) terhadap OKT khususnya diguna pakai terhadap pemimpin politik yang berkuasa dalam pentadbiran kerajaan.
Seperti sudah menjadi suatu kaedah baharu bila setiap kali kerajaan bertukar pemerintah, jika wujud pendakwaan ke atas anggota Kabinet mereka, maka Perkara 145(3) dipergunakan walaupun menyedari tindakan berkenaan bertentangan dengan manifesto.
Walau apa pun alasan diberikan, pada pandangan rakyat, elemen sedemikian berkemungkinan hanyalah satu sandiwara ‘tolong-menolong’ selain bertujuan mengekalkan kuasa politik ketika kedudukan sebuah kerajaan yang rapuh dari sudut majoritinya.
Jika Perkara 145(3) dan Seksyen 396 Kanun Acara Jenayah boleh digunakan melalui permohonan representasi yang dipersetujui oleh Peguam Negara terhadap OKT, iaitu seorang Timbalan Perdana Menteri, mengapa tidak layak terpakai kepada pemimpin lain?
Dari sudut keadilan, isu representasi berkenaan sepatutnya diberikan keutamaan kepada kes-kes melibatkan OKT dalam kalangan orang awam yang layak dan bukannya kepada pemimpin politik secara semberono atau atas arahan tangan ghaib.
Justeru, satu cadangan ikhlas saya, kemukakan supaya Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kuasa penuh kepada Peguam Negara bagi menggugurkan termasuk DNAA sesuatu kes menerusi permohonan representasi wajar dipinda bagi tujuan penambahbaikan.
a) Memasukkan klausa baharu bahawasanya interpretasi sebenar dokumen representasi tidak terpakai kepada ahli politik.
b) OKT dalam kalangan orang awam juga wajar dikaji seadilnya atas kelayakan sesuatu kes dibperingkat awal perbicaraan sebelum dikemukakan sebarang permohonan representasi kepada mahkamah serta harus bebas daripada campur tangan pihak ketiga.
c) Sesuatu kes yang telah lengkap perbicaraan, hanya menunggu keputusan mahkamah tidak wajar dikaji bagi tujuan representasi.
Demi memartabatkan istilah keadilan dari aspek perundangan seharusnya dibiarkan mahkamah yang memutuskan sesuatu kes berkenaan sehingga ke tahap rayuan di peringkat tertinggi. – UTUSAN
RAHMAD ISAHAK, Aktivis politik