Contohi kejayaan Rasulullah bentuk perpaduan ummah

Contohi kejayaan Rasulullah bentuk perpaduan ummah

TRAGEDI hitam 13 Mei 1969 merupakan sebahagian sejarah hitam negara akibat terlerainya ikatan perpaduan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERPADUAN boleh diertikan sebagai satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan kumpulan yang terpisah dari segi budaya, sosial mahupun politik.

Perpaduan dirintis Rasulullah SAW di Madinah berjaya menubuhkan sebuah negara dan bangsa berbeza dengan keadaan sebelumnya. Bibit-bibit perpaduan itu ialah persaudaraan, persatuan, persamaan dan kebebasan.

Perpaduan ummah yang dibentuk itu bersifat terbuka. Rasulullah SAW tidak membentuk masyarakat politik yang eksklusif bagi kaum Muslimin sahaja tetapi beliau menghimpunkan semua golongan penduduk Madinah, baik golongan yang menerima risalah ajaran Islam mahupun tidak.

Dalam membangunkan komuniti politik, Rasulullah SAW melibatkan semua agama, namun agenda dakwah tetap dilaksanakan dengan sungguh-sungguh tanpa memaksa seseorang bertukar agama dan adil terhadap semua agama lain.

Dalam konteks Malaysia, perpaduan amat dititikberatkan kerana masyarakat berbilang kaum, terdiri daripada pelbagai etnik dan agama selain diperkuatkan melalui penghayatan dan amalan prinsip-prinsip Rukun Negara.

Tragedi 13 Mei 1969 merupakan sebahagian sejarah hitam negara akibat terlerainya ikatan perpaduan. Kita sepatutnya mengambil tauladan daripada sudut kemanusiaan yang dilalui rakyat Bosnia, Iran, Iraq, Rwanda dan beberapa negara lain akibat persengketaan dan peperangan.

Oleh hal demikian, perpaduan kaum hanya dapat direalisasikan melalui beberapa langkah, antaranya menghormati sesama bangsa atau kaum, mewujudkan persefahaman dari aspek budaya dan kepercayaan diikat dengan satu komitmen kukuh, komunikasi yang baik antara rakyat, pemerintah atau kerajaan serta memupuk perasaan muhibah dan bersikap toleransi.

Jabatan atau agensi kerajaan harus bekerjasama dengan kerajaan perpaduan dalam meningkatkan usaha memupuk perpaduan kaum dengan pelbagai pendekatan berkesan dan menarik.

Di samping itu juga pihak berkenaan harus meneruskan kempen perpaduan kaum dan integrasi nasional di seluruh negara dengan lebih agresif lagi.

Jika rakyat hidup dalam keadaan berpecah belah hanya disebabkan sentimen kaum dan agama, secara langsung perpaduan negara akan turut sama terancam dan lumpuh.

Justeru, marilah kita berpegang kepada slogan Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh agar Malaysia sentiasa aman dan harmoni.-UTUSAN

MUZAKKIR HARON
Pulau Pinang

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN