Hargai PBB berani pertahan kebebasan beragama - Utusan Malaysia

Hargai PBB berani pertahan kebebasan beragama

SEMUA individu harus bebas mengamalkan kepercayaan mereka tanpa rasa takut dianiaya. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PUSAT Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan sokongan terhadap keputusan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) yang meluluskan resolusi untuk menangani kebencian agama dan pembakaran al-Quran seperti dilaporkan oleh agensi berita pada 12 Julai lalu.

Resolusi (A/HRC/53/L.23) bertajuk Melawan kebencian agama yang menimbulkan hasutan kepada diskriminasi, permusuhan atau keganasan telah diterima pakai dengan undian sebanyak 28 negara menyokong, 12 menentang dan tujuh berkecuali.

Resolusi tersebut mengecam dan menolak sekeras-kerasnya sebarang advokasi dan manifestasi kebencian agama termasuk tindakan mencemarkan dan membakar al-Quran secara umum dan terancang seperti berlaku di Sweden, baru-baru ini.

Resolusi itu yang turut disokong oleh Malaysia menggariskan keperluan supaya mereka yang melakukan perbuatan tersebut, bertanggungjawab sepenuhnya dan wajib diambil tindakan konsisten oleh kerajaan di negara terlibat melalui proses undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

Keputusan meluluskan resolusi itu juga membawa maksud semua kerajaan hendaklah menerima pakai undang-undang, dasar dan rangka kerja penguatkuasaan untuk menangani, mencegah dan mendakwa segala tindakan dan advokasi kebencian agama yang menimbulkan hasutan, diskriminasi, permusuhan atau keganasan serta mengambil langkah segera bagi memastikan akauntabiliti.

Keputusan mengutuk tindakan kebencian agama dan memastikan perlindungan al-Quran mempamerkan mesej kuat daripada UNHRC bahawa tindakan menghina atau keganasan ke atas mana-mana agama atau teks suci adalah dilarang.

Kebebasan beragama kekal sebagai hak asasi manusia yang mesti dipertahankan secara universal. Amat menggembirakan menyaksikan badan dunia seperti UNHRC mengambil langkah konkrit untuk menangani dan memerangi gelombang intoleransi agama yang semakin menjadi-jadi.

Dengan melindungi kesucian teks agama dan sifat hormat-menghormati terhadap pelbagai kepercayaan, sudah tentu dapat memupuk persekitaran menggalakkan dialog, persefahaman bersama dan perayaan kepelbagaian budaya.

Adalah menjadi harapan kami di Centhra agar tindakan dan langkah tegas diambil dan dikuatkuasakan untuk menjaga hak agama setiap individu.

Keputusan berani ini akan membantu mengekang bencana kebencian agama dan sikap tidak bertoleransi.

Marilah kita terus berusaha untuk mengecapi keamanan dunia di mana sikap saling menghormati, toleransi dan persefahaman dijadikan tonggak utama kehidupan. – UTUSAN

AZRIL MOHD. AMIN, Pengasas & Pengerusi Pusat Penyelidikan & Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya