Tutup sekolah daif yang kurang murid - Utusan Malaysia

Tutup sekolah daif yang kurang murid

SEKOLAH Kebangsaan Tebing di Bagan Datuk, Perak hanya mempunyai lapan murid pada sesi persekolahan 2023. – GAMBAR HIASAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin mengulas jawapan bertulis Kementerian Pendidikan (KPM) di Dewan Rakyat baru-baru ini yang mendedahkan sebanyak 830 sekolah di seluruh negara dikenal pasti mempunyai bangunan daif berskala enam dan tujuh iaitu paling teruk.

Daripada jumlah itu, sebanyak 560 sekolah dikategorikan pada skala enam manakala 270 lagi berada pada skala tujuh.

Terdapat 13 negeri dan wilayah seluruh negara mempunyai sekolah daif di kawasan masing-masing. Sekolah daif berskala enam dan tujuh tertinggi dicatatkan di Sarawak iaitu sebanyak 365 buah, diikuti Sabah 289 buah.

Menurut KPM, keutamaan akan diberikan kepada bangunan yang berada pada skala enam dan tujuh untuk dinaik taraf atau dibina bangunan gantian. Saya bersetuju dengan langkah terbabit kerana premis berkenaan tidak selamat dan tidak boleh diduduki lagi.

Bagaimanapun, seperti yang dimaklumkan oleh KPM, kelulusan dan pelaksanaan projek tertakluk kepada keutamaan dan kedudukan kewangan kerajaan. Pada Belanjawan 2023, sebanyak RM900 juta disediakan untuk mengatasi masalah sekolah daif.

Selain sekolah daif, bidang pendidikan juga dibelenggu masalah sekolah kurang murid. Sebanyak 3,017 sekolah rendah di Malaysia adalah sekolah kurang murid (SKM) iaitu kurang daripada 150 pelajar pada satu-satu masa.

Jumlah itu membabitkan 2,034 Sekolah Kebangsaan (SK), 616 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 367 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Bagi saya strategi bagi mengatasi isu sekolah daif dan kurang murid harus dilaksanakan bersama-sama. Oleh itu, sekolah daif berskala enam dan tujuh yang tidak selamat, tidak boleh diduduki dan kurang murid amat wajar ditutup serta bukan dinaik taraf atau dibina bangunan gantian.

Bagaimanapun, bagi sekolah daif dan ramai murid pula, sekolah tersebut wajar mendapat keutamaan untuk digantikan dengan bangunan baharu.

Pemilihan dengan betul dan tepat sekolah yang bermasalah ini untuk ditamatkan operasinya dapat menjimatkan wang rakyat dan sudah tentu banyak pula sekolah baharu boleh dibina. Ini membolehkan masalah nisbah murid 1:40 orang dalam sebuah kelas boleh berubah kepada yang lebih ideal iaitu 1:15 orang.

Saya juga berharap, KPM dapat memantau sekolah daif secara kerap kerana bangunannya sudah tidak selamat dan kebanyakan diperbuat daripada papan yang telah usang serta sistem pendawaian lama yang mungkin boleh berlaku kebakaran.

Bagi sekolah jauh di pedalaman yang perlukan guru transit dahulu untuk sampai ke sekolah memerlukan perhatian KPM agar kebajikan guru dan murid terbela.

KPM perlu melihat situasi ini secara bijaksana dan melakukan kajian terutama di kawasan pedalaman untuk membina sekolah berasrama baharu yang mempunyai kemudahan jalan raya, elektrik dan internet.

Kita tidak mahu lagi melihat situasi seperti didedahkan akhbar ini apabila murid terpaksa berjalan kaki sehingga tengah hari untuk sampai di sekolah dan guru pula banyak menghabiskan masa mengharungi jalan becak dan berlumpur dengan menolak motosikal seperti di Gua Musang, Kelantan atau menaiki bot berjam-jam untuk sampai ke sekolah seperti di Sabah dan Sarawak.

Akhir kata, diharapkan KPM tidak terlepas pandang aspek kebajikan serta keselesaan kakitangan pendidikan dan murid di sekolah daif dan kurang murid dengan menyediakan kemudahan yang sepatutnya. – UTUSAN

PESARA GURU, Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.