Serlahkan nilai ihsan ketika ibadah korban - Utusan Malaysia

Serlahkan nilai ihsan ketika ibadah korban

TERNAKAN yang sedang menunggu untuk disembelih elok diasingkan bagi mengelakkan ia melihat ternakan lain yang telah selesai proses itu. – GAMBAR HIASAN/ PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

IBADAH korban merupakan sunnah agung yang pernah dilakukan oleh Nabi Ibrahim. Allah SWT memerintahkan baginda untuk menyembelih puteranya, Nabi Ismail yang kemudiannya ditukar ganti kepada seekor kibas (kambing biri-biri).

Sejak itu, ibadah korban diikuti oleh Nabi Muhammad SAW dan umat Islam sehingga hari ini. Allah SWT berfirman maksudnya: “Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah.” (Surah al-Kautsar, ayat 2)

Sehubungan itu, umat Islam diajak untuk bersedia melakukan ibadah korban menjelang ketibaan bulan Zulhijah yang mulia. Ia merupakan tanda syukur atas pelbagai kurniaan Ilahi yang tidak terhitung banyaknya.

Ibadah korban juga menyerlahkan syiar agama Allah SWT di atas muka bumi ini. Malah ibadah korban dapat menghapuskan dosa-dosa kecil selain meringankan beban orang yang dalam kesempitan dengan penerimaan daging segar yang baharu disembelih.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada amalan anak Adam daripada amal di hari raya korban yang lebih disukai oleh Allah daripada mengalirkan darah binatang korban. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya dan bulunya serta kuku-kukunya dan sesun­gguhnya darah korban akan diterima oleh Allah sebelum menitis darah tersebut di tanah.” (Riwayat Imam al-Tirmizi)

Sungguhpun begitu, nilai ihsan sangat perlu dipraktikkan dalam pelaksanaan korban. Hal ini dilakukan dengan menyembelih binatang korban menggunakan pisau yang tajam mengikut hukum syarak yakni dengan memutuskan salur pernafasan dan salur makanan.

Ternakan yang sedang menunggu untuk disembelih eloklah diasingkan bagi mengelakkan ia melihat ternakan lain yang disembelih.

Pisau atau parang yang akan digunakan juga tidak boleh diasah di hadapan ternakan dan pastikan binatang tersebut sudah benar-benar mati baharulah dilapah di tempat yang bersih dan bersesuaian.

Nilai ihsan juga terserlah melalui pengagihan daging korban kepada golongan fakir miskin, jiran tetangga dan umat Islam setempat.

Melalui cara ini juga, hubungan sesama ahli keluarga, jiran tetangga dan ahli kariah dapat dipupuk melalui aktiviti gotong-royong dan pengagihan daging korban kepada golongan memerlukan.

Lebih daripada itu, nilai ihsan sebenar hendaklah dilaksanakan oleh setiap Muslim dalam pelbagai aktiviti kehidupan. Sifat ihsan menjadikan seseorang memiliki keikhlasan dalam beribadah.

Nilai ihsan adalah manifestasi daripada sabda Nabi SAW yang menyebut: “Ihsan itu ialah kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihatnya, walaupun kamu tidak melihatnya, akan tetapi Allah melihat kamu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ihsan sebagai satu daripada tonggak utama dalam konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga bertepatan dengan hadis ini.

Ia merujuk kepada tingkah laku baik, jujur, bersikap simpati, bekerjasama, pendekatan yang berperikemanusiaan dan ikhlas, menjaga dan mementingkan hak sesama insan dan makhluk lain serta memberi sesuatu melebihi daripada sepatutnya.

Ihsan turut didefinisikan sebagai memperhatikan, menyayangi, merawat, menghormati dan kasih sayang. Justeru, nilai ihsan yang terdapat dalam ibadah korban hendaklah diterapkan dalam diri setiap anggota masyarakat.

Tanpanya, pembentukan bangsa yang bertamadun sukar dicapai kerana sikap buruk seperti pentingkan diri sendiri, tidak menghargai orang lain dan tiada sifat kasih sayang antara sesama makhluk akan bermaharajalela dalam negara. – UTUSAN

DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya