Ledakan IT, AI buatkan kita makin malas membaca

Ledakan IT, AI buatkan kita makin malas membaca

DI era ledakan teknologi maklumat (IT) dan kelahiran teknologi kecerdasan buatan (AI) kini, dorongan untuk membaca merupakan suatu cabaran besar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ANTARA mesej terpenting al-Quran ialah mendorong manusia untuk berpegang dengan keyakinan jelas, berpaksikan dalil kukuh serta berpandukan akal yang bersih dan jujur. Oleh itu, Islam menegah manusia untuk berpegang kepada sangkaan atau dakwaan tanpa sandaran ilmu.

Bagi memastikan kesahihan sumber yang menjadi panduan beragama, maka hadis Nabi dihimpunkan, diteliti secara halus, ditimbang secara berhati-hati dan ditulis penuh hemah.

Ia membentuk disiplin ilmu yang hanya wujud dalam perpustakaan Islam, iaitu ulum al-hadis. Ilmu Mustalah al-Hadith, alJarh wa al-Ta’dil dan Tarajum al-Rijal telah membentuk satu ukuran dalam menapis dan membezakan antara khabar yang sahih, lemah atau palsu.

Inovasi utama kepada gelombang perbukuan dunia Islam adalah melalui penemuan teknologi pembuatan kertas yang diambil secara rahsia dari tamadun Cina. Ia membawa kepada terbinanya kilang kertas di Samarkand dan Baghdad.

Menjelang penghujung abad kesembilan, terdapat ribuan kedai yang menyediakan perkhidmatan jurutulis dan penjilidan buku di Baghdad.

Teknologi pembuatan kertas ini kemudian dikembangkan ke Barat melalui Andalus, kemudian masuk ke Eropah pada abad ke-13. Di abad ke-10, Cordova memiliki 70 perpustakaan besar dengan antara yang terbesar menempatkan 400,000 buah buku, 60,000 risalah, himpunan puisi serta karya seni dan pelbagai kompilasi penulisan lain.

Perpustakaan di Kaherah menempatkan 100,000 buku manakala di Dar al-‘Ilm, Tripoli dicatatkan terdapat ratusan ribu buku sebelum ia dibakar tentera salib. Di zaman tersebut, pustakawan memiliki status yang tinggi di mana posisi tersebut hanya dilantik dalam kalangan ilmuwan terkemuka dalam pelbagai bidang dan menyumbang kepada bidang keilmuan.

Di era ledakan teknologi maklumat (IT) dan kelahiran teknologi kecerdasan buatan (AI) kini, dorongan untuk membaca merupakan suatu cabaran besar. Apatah lagi dengan adanya media sosial yang menyajikan penulisan pendek dan kandungan bervisual berbanding teks.

Justeru, kefahaman tentang agama Islam serta perkembangannya seperti dijelaskan mampu memberi kesedaran kepada umat tentang kepentingan membaca.

Sejarah turut menjadi saksi bahawa kejayaan dan kegemilangan sesuatu tamadun adalah melalui ilmu di mana membaca adalah jambatan bagi meraihnya. Oleh itu tepat sekali apa yang dinukilkan oleh Sheikh Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti dalam karyanya Kubra al-Yaqiniyyat iaitu sejarah sentiasa menjadi milik zaman ketika ia dilahirkan. Sejarah tidak mewariskan kemajuan atau kemunduran tetapi ia hanya meninggalkan satu perkara, iaitu ibrah atau pengajaran.-UTUSAN

DR. MOHD. KHAIRUL NAIM CHE NORDIN
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya