SAUDARA PENGARANG,
PAMERAN Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) yang telah melabuhkan tirainya baru-baru ini menyaksikan penyertaan terbesar sejak ia dianjurkan apabila berjaya menarik 600 pempamer, 45,000 pelawat komersial dan 450 individu kenamaan.
Walaupun negara masih berdepan dengan impak ekonomi ekoran pandemik Covid-19 namun dalam memastikan pertahanan dan kesiapsiagaan berada di tahap optimum langkah mengadakan acara dwitahunan itu yang tertangguh pada 2021 adalah sesuatu yang wajar.
Sememangnya menjadi harapan semua agar LIMA ’23 mampu mengukuhkan lagi Malaysia sebagai hab serantau bagi industri aeroangkasa dan maritim.
Justeru, langkah memeterai 43 kontrak berkaitan pertahanan bernilai RM10.1 bilion yang terdiri daripada 20 dokumen kontrak, 21 surat setuju terima (SST) dan dua surat niat diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya.
Sebelum ini, Presiden Airbus Asia Pasifik, Anand Stanley dalam suatu kenyataan di Kuala Lumpur pada 22 Mei lalu turut menegaskan bahawa pihaknya sedia menjalinkan kerjasama dengan Malaysia dalam melaksanakan inisiatif penyahkarbonan sektor aerongkasa termasuk pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF).
Katanya, Malaysia mempunyai ruang dan kebolehan dalam melaksanakan inisiatif tersebut kerana mempunyai kepelbagaian sumber serta tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Saya bersetuju dengan kenyataan beliau kerana antara kejayaan terbesar LIMA ’23 adalah turut membuka peluang kepada institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan untuk meneroka bidang baharu Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi melahirkan pekerja berkemahiran tinggi.
Dijangkakan, tawaran kursus dalam bidang baharu mampu meluaskan potensi graduan lepasan TVET untuk memenuhi keperluan tenaga kerja dalam negara.
Justeru, penglibatan dan kerjasama Aerostar Technologies (M) Sdn. Bhd. dan Institut Teknologi Penerbangan Malaysia Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT) bagi program pembaikan struktur pesawat bakal memberi peluang kepada pelajar universiti milik Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu untuk mempelajari perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat serta jet pejuang di negara ini.
LIMA ’23 dalam pada itu turut menyerlahkan kebolehan dan kepakaran 23 juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terlibat dalam pertunjukan udara. Pelbagai aksi ‘maut’ yang dipersembahkan membuatkan penonton tidak henti mendongak ke langit untuk menyaksikannya.
Formasi yang dipersembahkan mereka tidaklah semudah seperti disaksikan dari bawah malah setanding dengan persembahan yang ditampilkan Black Eagle dari Korea Selatan, Jupiter (Indonesia), Russian Knight (Russia) dan August 1st (China).
Secara keseluruhannya, sejumlah 36 pesawat menampilkan persembahan udara yang memukau lebih 2,000 penonton yang berada di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC).
TUDM menampilkan pesawat pejuang milik mereka jenis F/A18-AD Hornet, Hawk 108/208, Sukhoi SU30MKM dan pesawat pengangkut jenis C-130H dan A400M. Turut serta helikopter MD-530G, EC725AP, EC725, AW139 dan AW09.
LIMA ’23 yang bertemakan Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia mencipta sejarah tersendiri setelah kali terakhir dianjurkan pada 2019. Selamat tinggal LIMA ’23. Semoga berjumpa lagi di edisi LIMA seterusnya yang dijangka berlangsung pada Mei 2025. – UTUSAN
MOHD. SALLEH OSMAN, Presint 16, Putrajaya