Cungkil bakat seawal 11 tahun untuk pingat emas Olimpik pertama

Cungkil bakat seawal usia 11 tahun untuk pingat emas Olimpik pertama

JAWAPAN kepada ketandusan barisan pelapis atlet adalah dengan mencungkil bakat muda yang berpotensi sejak di bangku sekolah lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEDUDUKAN pasukan negara dalam Sukan SEA ke-32 di tangga ketujuh serta gagal mencapai sasaran 40 pingat emas perlu mendapat perhatian pelbagai pihak.

Ini termasuk memulakan langkah dengan mencungkil bakat sukan dalam kalangan pelajar sekolah yang berusia antara 11 hingga 14 tahun. Langkah ini sekali gus merupakan jawapan kepada ketandusan atlet dan ahli sukan negara yang berwibawa di peringkat antarabangsa sama ada Olimpik atau Piala Dunia.

Sebelum ini, pencungkilan bakat sukan dibuat secara ad hoc dan ia tidak mencukupi untuk melahirkan jaguh serantau atau dunia.

Demi memastikan perkara ini menjadi kenyataan, aktiviti sukan dijalankan di sekolah perlu berubah dan hendaklah dilakukan secara menyeluruh dan berterusan.

Bukannya bermusim seperti sekarang yang hanya melibatkan semua murid peringkat umur 11 tahun.

Langkah memperkasakan sukan di bawah 15 tahun perlu melibatkan pewujudan liga di peringkat sekolah, iaitu kejohanan antara rumah-rumah sukan berpasukan seperti bola sepak, hoki dan ragbi.

Malah sukan seperti tenis, bola keranjang, badminton, skuasy, bola tampar, sepak takraw, ping pong, olahraga dan renang pula melalui penganjuran kejohanan setiap tahun di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan.

Kumpulan bawah 18 tahun juga perlu diperkasakan dengan meneruskan aktiviti liga dan kejohanan tersebut.

Matlamat pemperkasa sukan di bawah umur 15 tahun merupakan serampang dua mata. Pertama, untuk mencungkil bakat ahli-ahli sukan di awal usia 11 tahun dengan menyediakan kemudahan untuk mereka terus bergiat dalam sukan pilihan sehingga bersedia mewakili negara atau pemain profesional.

Kedua, melibatkan semua rakyat tidak kira di tahap penguasaan dalam sesuatu sukan kerana apa yang penting, mereka menjadi individu lebih sempurna bagi keperluan sebuah negara maju.

Sesungguhnya, sukan mampu membentuk watak, peribadi dan keyakinan diri seseorang bagi membolehkan mereka memainkan peranan yang lebih baik sebagai ketua keluarga atau apa jua jurusan diceburi.

Pembabitan keseluruhan rakyat dalam sukan bukan sahaja boleh membawa nama baik diri sendiri malah mampu memajukan industri pelancongan merapatkan hubungan antara pelbagai kaum.-UTUSAN

MOHAMED YUSOFF YAHYA
Batu Gajah, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN