SAUDARA PENGARANG,
SEBELUM ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pihaknya akan mencari dana dan melaksanakan projek bekalan air yang lengkap bagi menyelesaikan masalah air di Kelantan. Beliau juga memberitahu, ia boleh diselesaikan dengan cepat jika kerajaan negeri itu memberi kerjasama.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula baru-baru ini mendedahkan, Kerajaan Persekutuan sudah pun menyalurkan peruntukan berjumlah RM1 bilion bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air bermula tahun ini.
Namun, amat mengecewakan apabila sehelai surat yang tular di laman sosial berhubung pemberian sagu hati Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM10,000 kepada Ahli Lembaga Pengarah Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).
Apa yang dikesalkan lagi apabila Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin tidak menegur salah laku itu sebaliknya dicari pula pihak atau individu yang mendedahkan atau membocorkan maklumat mengenai AKSB.
Apakah sumbangan besar ahli lembaga sehingga mereka diberi imbuhan sebanyak RM10,000 seorang manakala staf hanya menerima sebanyak RM200 sedangkan masalah perbekalan air belum lagi selesai? Adilkah perkara ini kepada rakyat Kelantan?
Ayuh! rakyat Kelantan, berubahlah dari sekarang. Marilah kita membina Kelantan yang lebih baik dan maju untuk membangun bersama kerajaan perpaduan. Gunakanlah hak kamu sebagai rakyat sekiranya sudah bosan dengan apa yang dipaparkan oleh kerajaan pimpinan Pas dalam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.-UTUSAN
TOK WALI SONGE
Pulau Pinang