Untung bersasar perlu jadikeutamaan Tabung Haji

Untung bersasar perlu jadi keutamaan Tabung Haji

PENEKANAN terhadap kepentingan istito’ah dapat membantu Lembaga Tabung Haji dalam penjajaran semula strategi pelaburan demi memberi agihan keuntungan yang kompetitif.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ISU pemberian subsidi haji yang berterusan untuk menampung kos haji akan menyebabkan ketidaklestarian pengurusan agihan keuntungan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dalam jangka panjang.

Untuk rekod, bakal haji dalam kumpulan M40 perlu membayar kos haji sebanyak RM15,980 seorang (TH tanggung subsidi RM14,870), manakala bakal haji dalam kumpulan B40 perlu membayar kos haji sebanyak RM10,980 seorang (TH tanggung subsidi RM19,870).

Walaupun pembahagian jemaah haji kepada kumpulan B40, M40 dan T20 bukanlah sesuatu yang benar-benar ideal, malah kurang bertepatan dengan tuntutan istito’ah atau berkemampuan dalam menyediakan belanja mencukupi untuk menunaikan haji, langkah berani Tabung Haji untuk mengenakan bayaran penuh kepada jemaah haji dalam kumpulan T20 merupakan tindakan wajar dipuji.

Penekanan terhadap kepentingan istito’ah bukan sahaja langkah tepat, malah dapat membantu Tabung Haji dalam penjajaran semula strategi pelaburan demi memberi agihan keuntungan yang kompetitif.

Justeru, Tabung Haji perlu mencari penyelesaian jangka panjang yang lebih lestari dalam menangani beban kewangannya terutama sekali subsidi haji yang bakal meningkat seperti meneroka potensi agihan keuntungan bersasar kepada para pendepositnya.

Meskipun konsep agihan keuntungan bersasar ini tidak memberi daya penarik kepada golongan T20 untuk berterusan menyimpan wang di Tabung Haji, namun dengan kefahaman yang betul, tidak mustahil kesemua pemegang taruh akan menyokong inisiatif agihan keuntungan bersasar bagi memastikan kelestarian agihan keuntungan dalam jangka masa panjang.

Konsep agihan keuntungan bersasar bermaksud agihan keuntungan yang lebih tinggi boleh diberikan kepada para pendeposit yang masih belum menunaikan haji dengan kadar dan bagi tempoh tertentu.

Tabung Haji boleh mengenakan beberapa syarat tambahan seperti pendeposit bakal haji tidak dibenarkan untuk mengeluarkan agihan keuntungan melainkan dengan kelulusan bagi memastikan jumlah simpanan yang progresif dapat dikumpulkan untuk membolehkan bakal haji menunaikan haji dalam tempoh terdekat, misalnya 10 atau 20 tahun lagi.

Malahan, Tabung Haji juga boleh meneroka satu mekanisme bagi membolehkan pendeposit kategori kedua (terutama pendeposit T20 yang sudah mengerjakan haji) untuk menyerahkan secara sukarela (sama ada keseluruhan atau sebahagian) agihan keuntungan diterima pada tahun semasa ke dalam satu dana khas yang diperuntukkan kepada pendeposit bakal haji yang akan menunaikan haji pada tahun tersebut dan tahun berikutnya.

Dana khas kemudiannya boleh diagihkan sebagai subsidi bersasar kepada pendeposit bakal haji, persis skim takaful yang diamalkan dalam industri takaful masa kini.

Inisiatif sebegini juga merupakan cerminan sebenar roh ta’awun yang dapat disemai dalam kalangan para pendeposit lebih berkemampuan untuk membantu saudara pendeposit lain yang kurang berkemampuan.-UTUSAN

DR. MOHAMED HADI ABDUL HAMID dan DR. MOHD ZAIDI MD. ZABRI
Fakulti Perniagaan
dan Ekonomi Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya