SAUDARA PENGARANG,
MERUJUK kepada artikel bertajuk Jangan pelik ada orang yang tidak sambut hari raya ditulis oleh Mohamad Syafiq Ya Shak dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak dalam ruangan ini pada 2 Mei lalu.
Menurutnya, ada individu yang kurang berminat atau mengelak untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang baru berlalu kerana pelbagai sebab peribadi. Bagi mereka, kedatangan 1 Syawal bukanlah sesuatu yang menggembirakan.
Saya pun tidak berasa pelik jika ada dalam kalangan rakyat beragama Islam terpaksa melupakan sambutan Hari Raya Aidilfitri disebabkan pelbagai perkara yang tidak dapat dielakkan seperti tuntutan kerja, musibah besar seperti Covid-19 dan cuaca panas melampau yang sedang berlaku ketika ini.
Tentang sambutan hari istimewa untuk meraikan seseorang pula, saya sendiri sejak kecil lagi tidak pernah sekalipun terfikir hendak menyambut hari-hari khusus untuk meraikan seseorang seperti Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Guru, Hari Wanita, Hari Pekerja dan Hari Kekasih serta seumpamanya yang sejak dahulu lagi tidak relevan dengan seseorang.
Mana-mana yang tidak suka atau memboikot hari-hari istimewa untuk meraikan seseorang atau sesuatu benda, tidak harus berasa pelik sebab ia semuanya bukan hari besar, cuma sekadar meraikan seseorang dan sesuatu benda sehari dalam setahun.
Selaku warganegara tulen, cukuplah menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sahaja serta tidak wajib meraikan hari-hari istimewa untuk seseorang atau sesuatu peristiwa sehari dalam setahun.
Semoga sambutan Hari Pekerja di Malaysia pada masa akan datang dikeluarkan daripada senarai cuti umum dan digantikan dengan Deepavali selama dua hari berturut-turut di semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak. – UTUSAN
HAYRIN MATAHIR, Sandakan, Sabah