PETALING JAYA: Kerajaan bakal memulakan pemantauan secara bulanan terhadap semua projek air, elektrik dan jalan raya di Sabah bermula Januari depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan isu asas seperti bekalan air dan elektrik serta keadaan jalan raya yang belum memuaskan diselesaikan secepat mungkin sekali gus mengurangkan masalah kelewatan projek.
Katanya, pemantauan itu bersama Kerajaan Negeri Sabah, merangkumi projek di bawah kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri termasuk projek pembaikan sekolah, infrastruktur kampung, Pan Borneo dan kerja-kerja naik taraf kritikal lain.
“Saya dah cadangkan pada Jawatankuasa di Jabatan Perdana Menteri, mulai Januari kita akan mulakan pemantauan projek bersama dengan kerajaan negeri. Mana-mana projek kerajaan negeri dan projek kerajaan Persekutuan kita tinjau kemajuannya, pantau setiap bulan
“Kalau sudah ada projek itu, mengapa kelewatannya dan apa lagi yang patut disegerakan? Untuk maksud itu, kalau cakap Kerajaan Persekutuan, saya beri jaminan sedaya upaya saya akan beri perhatian dan tentukan tidak ada penangguhan 21 projek.
“Malah untuk projek tahun depan, kalau dulu-dulu semua peruntukan diberi bulan April, tapi sejak dua tahun yang lalu saya luluskan projek dana untuk negeri atau Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) mengesahkan itu bulan Januari. Maknanya bulan Januari sekarang boleh rancang, Januari mesti jalan,” katanya berucap di Majlis Sentuhan MADANI Bersama Rakyat Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Anwar berkata, sistem pemantauan bersama yang turut melibatkan pegawai daerah, agensi pembangunan negeri dan Persekutuan itu akan memastikan ratusan projek dirancang dapat dilaksanakan lebih pantas berbanding sebelum ini.
Katanya, keutamaan kerajaan adalah memastikan setiap komitmen pembangunan bukan sekadar pengumuman, sebaliknya benar-benar diterjemahkan melalui tindakan.
Pada masa sama, Anwar turut mengarahkan agar tiada lagi penangguhan dalam kelulusan projek Persekutuan di negeri itu.
“Walaupun saya di sini sekitar dua hari saja tapi kita tinjau dari dekat dan menemui ramai tokoh-tokoh dan melihat sendiri suku-suku kaum, daerah-daerah bandar, pinggir bandar desa dan pedalaman dan bagaimana kita dapat tingkatkan usaha kita.
“Apakah isu-isu yang saya dengar? Tadi Ketua Menteri menjenguk Isu-isu terdekat. Bagi pihak saya tentunya saya hanya boleh mengatakan kita telah luluskan peruntukan yang besar untuk air, api, jalan raya Pan Borneo dan jalan-jalan kampung,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, sepanjang dua hari di Sabah semasa pilihan raya negeri, beliau berpeluang meninjau sendiri keadaan di lapangan serta bertemu ramai tokoh tempatan yang membolehkan kerajaan memahami kekuatan pelbagai suku kaum dan menilai langkah bersesuaian bagi meningkatkan usaha pembangunan negeri.
Katanya, kunjungan ke Sabah sejurus selepas pilihan raya dilihat sebagai komitmen jelas bagi memastikan rakyat tidak menganggap janji ahli politik hanya dibuat ketika musim pilihan raya.
“Kerana saya tidak mahu ada anggapan bahawa janji orang politik itu sebelum pilihan raya dan setelah menang, dia rasa selesa.
“Kerajaan harus membuktikan kesungguhan sejak awal dengan segera turun padang dan melaksanakan amanah rakyat,” katanya. – UTUSAN









