SAUDARA PENGARANG,
PADA 1970-an, Sistem Salleh adalah sebuah konsep untuk meningkatkan ketenteraman awam dan membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendekati masyarakat selain membasmi jenayah ketika itu.
Sistem itu diilhamkan oleh Ketua Polis Negara Kedua, Tun Salleh Ismail, dalam usaha untuk meningkatkan keberkesanan tindakan membasmi jenayah dengan melibatkan orang ramai secara langsung.
Pondok-pondok polis diwujudkan di kawasan yang sering dikunjungi orang ramai, taman perumahan dan kampung terpilih. Bagaimanapun, apabila zaman berlalu banyak pondok polis terutama di kawasan bandar di seluruh negara yang telah terbiar.
Ia telah disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk meletakkan barang berbahaya, dijadikan stor makanan dan ada sampai dijadikan tempat tinggal penagih dadah.
Bagi saya pondok polis seharusnya menjadi tempat bertugas bagi anggota tugas am dan Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) meskipun PDRM kini mempunyai balai polis bergerak selain membuat rondaan berkala oleh unit peronda bermotosikal dan kereta.
Bagaimanapun, dengan mempunyai pondok polis di lokasi tetap akan memudahkan penduduk setempat membuat aduan tanpa perlu menghubungi talian kecemasan atau ke balai polis yang jauh.
Isu kurangnya penyelenggaraan adalah antara sebab pondok polis, lebih-lebih lagi sekitar lokasi strategik terbiar begitu sahaja, contohnya Pondok Polis Bukit Bintang. Pondok polis itu kini dibiar usang sedangkan ia terletak di lokasi tumpuan pelancong asing dan warga kota.
Oleh itu, pihak berwajib seperti Kementerian Dalam Negeri perlu mengambil langkah sewajarnya bagi membantu PDRM memelihara pondok polis di bandar-bandar daripada terus terbiar dan disalahgunakan orang tidak bertanggungjawab.
PDRM pula perlu mengambil langkah sewajarnya untuk memelihara pondok polis supaya ia dapat dijadikan tempat untuk anggota berhenti rehat ketika bertugas di kawasan sekitar. – UTUSAN
RAHATULAH, Kuala Lumpur