Makin banyak tanda suka, makin bahagia hidup?

Makin banyak tanda suka, makin bahagia hidup?

MEDIA sosial memiliki impak negatif khususnya kepada kesihatan mental sekiranya tidak diuruskan dengan baik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

STATISTIK Kementerian Komunikasi dan Digital pada 2022 merekodkan 28 juta pengguna maya bergantung terhadap media sosial sebagai platform untuk jaringan perhubungan, perbincangan mahupun perkongsian pandangan.

Merujuk kepada konteks pengesahan di media sosial, ia boleh diklasifikasikan sebagai proses pengakuan atau penerimaan, pembuktian bahawa suatu pemikiran, perasaan, tindakan individu itu adalah benar.

Malah, ia merupakan satu sokongan dan tindakan seseorang diterima dalam lingkungan sosialnya.

Dalam era kepesatan internet dan teknologi, media sosial menjadi wadah untuk membangun keterikatan, karakter dan pengesahan yang menjadi satu bentuk sokongan dan mungkin boleh terdedah kepada ancaman. Malah, semakin ramai individu yang cenderung menilai kebahagiaan hidup berdasarkan cara mereka diterima di media sosial yang diukur menerusi jumlah tanda suka, komen berbaur pujian, sanjungan dan status dikongsi di segenap platform.

Kebergantungan individu untuk diterima dalam lingkungan sosialnya boleh mendorong mereka menjadi obses dengan jumlah tanda diperoleh, sering memeriksa komen diterima terhadap hantaran dibuat dengan kerap. Apa yang membimbangkan, sekiranya media sosial sudah menjadi alat pengesahan mutlak untuk mencerminkan kebahagiaan hidup seseorang.

Lebih malang sekiranya perkara-perkara negatif seperti tingkah laku agresif, kata-kata berbaur provokasi dan bersifat memfitnah turut dinormalisasikan oleh masyarakat atas dasar menghormati dan mengakui hak kebebasan bersuara.

Pengesahan di media sosial memiliki impak negatif khususnya kepada kesihatan mental sekiranya tidak diuruskan dengan baik.

Bermula dengan tujuan sebagai sokongan boleh beralih kepada suatu bentuk ancaman.

Sebagai contoh, tidak semua perkara yang dimuat naik di media sosial perlu diperakukan oleh semua penonton. Apalagi dengan teknologi yang semakin berkembang, foto atau video mampu direka/diedit sehingga kelihatan menarik dan indah.

Namun, sekiranya individu terlalu bergantung kepada keperluan pengesahan dan memerlukan perhatian dari media sosial secara tetap, mereka cenderung berasa cemas atau depresi kerana terkesan kepada jumlah suka dan komentar.

Sudah tiba masanya kita menjadi pendengar yang baik kepada insan sekeliling.

Media sosial tidak boleh menggantikan sepenuhnya peranan kita sebagai ejen komunikasi, penghubung dan penyokong dalam sesuatu perhubungan atau kelangsungan hidup. Jadilah pengguna media sosial yang bijak.-UTUSAN

DR. NORSAFATUL AZNIN A. RAZAK
Fakulti Pendidikan
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN