SAUDARA PENGARANG,
UMUM tahu proses pilihan raya negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk enam negeri akan berlangsung tidak berapa lama lagi. Semua parti politik dijangka masuk bertanding dalam proses pilihan raya terbabit.
Antara parti politik yang menjadi perhatian adalah Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) diasaskan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Muar.
Muda adalah sebuah parti baharu dalam arena politik negara. Kehadiran parti itu memberi sedikit harapan kepada kebanyakan rakyat untuk membawa pembaharuan dalam proses pentadbiran negara ekoran dipelopori generasi muda yang memiliki idea serta matlamat baharu yang dilihat sesuai dengan cita rasa dan kehendak generasi masa kini.
Secara peribadi, saya lebih suka tengok MUDA bergerak secara solo tanpa melekat atau menempel dengan mana–mana parti politik sedia ada sekiranya mereka ingin membawa pembaharuan sebenar untuk rakyat dan negara.
Namun, sekiranya MUDA ingin menjadi sebahagian daripada gabungan mana–mana parti politik sedia ada, maka Malaysia tidak akan memiliki kuasa ketiga seperti diharapkan banyak pihak untuk membawa pembaharuan sebenar dalam negara kita.
Oleh demikian, disarankan barisan pimpinan MUDA melihat semula hala tuju parti itu sendiri sama ada ingin menjadi sebuah parti politik yang benar–benar bebas ataupun ingin kekal menjadi sebahagian daripada gabungan mana–mana parti politik sedia ada? Adalah diharapkan kepimpinan tertinggi dan semua ahli MUDA dapat memikirkan dengan teliti dan mendalam terhadap langkah yang mereka ingin ambil untuk membawa MUDA dalam arena politik negara kita pada masa kini dan akan datang.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia