Jangan dinafi peranan penting alumni universiti

Jangan dinafi peranan penting alumni universiti

ALUMNI universiti perlu ke depan dalam konteks kerjasama yang erat bagi memastikan mahasiswa, bakal graduan, graduan dan kilang akademiknya mendapat keuntungan bersama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ALUMNI dan universiti berpisah tiada. Sudah tentu alumni atau graduan adalah kemuncak penghasilan dan penciptaan universiti sebagai kilang akademik dalam melahirkan keupayaan modal insan yang unggul untuk negara.

Ironinya, alumni yang dihasilkan itu sebagai pemegang taruh yang sangat bernilai. Kejayaan seseorang alumni dalam kebolehpasaran pekerjaan dilihat berupaya membentuk reputasi, identiti dan imej kepada keunggulan universiti dalam proses berpanjangan.

Saya berpandangan, sudah tiba masanya alumni universiti bergerak secara interaktif dalam usaha memupuk mesra-graduan malahan setiap alumni universiti perlu digerakkan secara tuntas bagi merebut penyediaan insentif melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membabitkan peruntukan RM313 juta yang mana kesinambungan kepada inisiatif di bawah Belanjawan 2023 menumpukan usaha meningkatkan peluang serta penempatan pekerjaan kepada pelbagai kumpulan sasar terutama dalam kalangan graduan.

Unit kerjaya universiti harus bekerja rapat dengan persatuan alumni agar melaksanakan program persediaan kerjaya dan membuat latihan interviu agar graduan tidak canggung di kerusi temu duga kelak.

Mahasiswa pada tahun pertama pengajian lagi perlu mendapat maklumat terkini malahan usaha kerajaan dalam memfokuskan pembangunan Pusat Satelit MYFutureJobs di Pusat Transformasi Bandar (UTC) seluruh negara perlu diadakan setiap tahun di setiap universiti awam.

Alumni universiti sendiri perlu ke depan dalam konteks kerjasama yang erat.

Kesukarelawanan yang tinggi dituntut dalam pengurusan alumni itu bagi memastikan mahasiswa, bakal graduan, graduan dan kilang akademiknya mendapat keuntungan bersama.

Saya percaya soal pengangguran dapat dielakkan, soal pekerjaan yang menepati pengajian universiti dan kehendak industri sentiasa dipenuhi serta secara tidak langsung, menaikkan nama dan reputasi universiti sebagai penyediaan modal insan yang unggul.

Sudah tiba masanya pendekatan universiti lebih terbuka dengan alumninya kerana saya cukup yakin pendekatan sedemikian berupaya mempengaruhi mereka untuk membantu alma-mater. Malahan kecemerlangan dan keaktifan alumni universiti turut bersama-sama mampu menerapkan kepada bakal graduan sebagai faktor penarik kepada industri untuk turut sama menyumbang kepada universiti.-UTUSAN

ABDUL RAHIM ABDUL RAHMAN
Timbalan Presiden Persatuan Alumni Universiti Utara Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN