Jangan berkompromi kualiti guru

Jangan berkompromi kualiti guru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin merujuk artikel Utusan Malaysia bertajuk Wajibkan saringan, temu duga ambil guru baharu terbitan 13 Mei lalu.

Kita tahu guru adalah agen perubahan paling penting dalam melahirkan pelajar yang berilmu, beretika dan mempunyai semangat patriotik tinggi pada negara. Oleh itu, kualiti guru adalah penting sebagai model pada pelajar.

Ini bermakna pengambilan guru tidak boleh dibuat seperti kilang dengan mengambil sesiapa sahaja, walau dalam keadaan tidak cukup tenaga.

Teguran Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md. Kechik yang mengatakan pengambilan guru tidak boleh dibuat secara sembrono adalah berasas dan harus difikirkan secara mendalam serta rasional oleh Kementerian Pendidikan.

Kita mahu calon yang melihat profesion perguruan sebagai satu kerjaya serius dan murni. Kita tidak mahu lihat ia sebagai batu loncatan untuk dapat kerja kerana gagal ditempatkan dalam bidang lain.

Melalui saringan dan temu duga, calon dapat dinilai bukan sahaja daripada kelulusan akademik tetapi turut memberi peluang pada penemuduga melihat calon secara bersemuka.

Ia dapat memberi peluang dari sudut psikologi sama ada seseorang calon layak menjadi guru dari segi perwatakan, ketrampilan diri, pengetahuan am dan kebolehan berkomunikasi dengan baik.

Kementerian Pendidikan tidak harus terburu-buru mengisi 19,000 kekosongan dengan cara serkap jarang. Kita tidak mahu keadaan murid lebih pandai daripada guru.

Jika kementerian tidak cukup penemuduga, maka boleh gunakan khidmat pesara pegawai kanan kerajaan seperti alumni pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) dan sebagainya.

Kita tidak boleh berkompromi kuantiti dengan kualiti. Malahan kini, kualiti sistem pendidikan kita dipersoalkan oleh banyak pihak dan tanggapan mereka tidak salah jika pengambilan dibuat secara sembrono.-UTUSAN

HASSAN
Seri Kembangan, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.