Harap selesai isu jalan berlubang - Utusan Malaysia

Harap selesai isu jalan berlubang

KERJA-KERJA penyelenggaraan perlu dipastikan tidak mengganggu kelancaran aliran trafik. – GAMBAR HIASAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 18 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penambahan peruntukan sebanyak RM250 juta bagi penyelenggaraan berkala jalan Persekutuan.

Beliau berkata, peruntukan tambahan seperti diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara bertujuan menangani masalah jalan raya berlubang yang menjadi antara penyumbang kepada kemalangan.

Peruntukan tambahan dikhususkan untuk manfaat kontraktor kecil bumiputera itu menjadikan peruntukan keseluruhan penyelenggaraan berkala jalan Persekutuan meningkat kepada RM1 bilion berbanding RM750 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2023.

Berdasarkan pengamatan dan laporan media, perlu diakui jalan raya di negara kita masih banyak yang berlubang dan rosak walaupun Kementerian Kerja Raya meneruskan Kempen Sifar Jalan Berlubang sejak 2016 dan Kempen Kita Jaga Jalan Kita yang dilancarkan pada 2021.

Tidak kira perjalanan yang ditempuh itu jauh mahupun dekat, sebagai pengguna jalan raya, apa yang diharapkan sebenarnya ialah jalan raya yang akan dilalui dalam keadaan baik dan selesa untuk pemanduan.

Keadaan jalan yang rosak seperti berlubang dan retak akan menimbulkan ketidakselesaan kepada pengguna jalan raya kerana pemanduan akan kerap terganggu disebabkan perlu mengelak laluan berlubang.

Lebih membahayakan, keadaan jalan berlubang boleh mendatangkan risiko kemalangan serta kerosakan pada kenderaan. Tambahan pula pada waktu hujan dan malam ditambah pencahayaan kurang baik.

Jalan berlubang ditambah permukaan licin adalah ibarat bom jangka yang menjadikan semua pengguna jalan raya adalah kumpulan berisiko tinggi untuk terlibat dengan kemalangan.

Isu jalan berlubang sememangnya merekodkan banyak kes kemalangan di negara kita. Memetik kenyataan dikeluarkan oleh Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Law Teik Hua, sebanyak 285 kes kematian dicatat antara 2014 hingga 2018 berpunca daripada jalan berlubang.

Dapatan data Jabatan Trafik dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menunjukkan punca kematian kerana jalan berlubang pada 2018 sebanyak 0.88 peratus daripada keseluruhan kematian nahas jalan raya di seluruh negara.

Lebih membimbangkan, ia menunjukkan bilangan yang semakin meningkat dari tahun ke tahun dalam tempoh empat tahun iaitu dari 2015 hingga 2018.

Walaupun peruntukan telah diberikan, penyelenggaraan jalan berlubang ini walaupun bertujuan baik, harus tidak menyusahkan pengguna jalan raya seperti yang berlaku ketika orang ramai berpusu-pusu pulang ke kampung sempena cuti Hari Raya Aidilfitri tempoh hari.

Cuaca semasa yang panas ditambah perlu menempuh kesesakan jalan raya gara-gara kerja-kerja penyelenggaraan yang tidak kena pada masanya, makin bertambah bahang ‘panasnya’ buat pengguna jalan raya.

Sebab itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengarahkan kerja-kerja penyelenggaraan di semua lebuh raya dihentikan sementara sehingga esok sebagai langkah segera memastikan kelancaran aliran trafik.

Ia juga supaya tidak mengganggu perjalanan orang ramai sepanjang perayaan sekali gus memastikan keselesaan serta keselamatan pengguna lebuh raya. – UTUSAN

MOHD. ZAINI OTHMAN, Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Pragmatis)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN