Graduan perlu ada ‘pakej’ menarik

Graduan perlu ada ‘pakej’ menarik

MEMAHAMI prinsip madani adalah sangat relevan dalam membentuk keperibadian dan karakter unggul sekali gus menampilkan ciri unik dan nilai tambah untuk melangkah ke alam pekerjaan dan kehidupan sebenar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

GRADUAN cemerlang yang bakal memasuki sektor pekerjaan bermula sebagai mahasiswa yang mencorak kehidupan melalui ilmu, memperkasakan kemahiran insaniah dan mencari pengalaman berharga di alam pengajian tinggi. Universiti sebagai gelanggang pengajian tinggi dinamik, menghidangkan pelbagai peluang kepada bakal graduan untuk mencipta kecemerlangan. Prinsip madani boleh menjadi kerangka membina kompetensi graduan unggul idaman majikan.

Prinsip madani juga dapat membantu graduan memahami betapa pentingnya menghargai hak asasi manusia, menghormati hak orang lain dan menjunjung tinggi nilai keadilan dan persamaan. Prinsip ini menjadi landasan dalam proses pendidikan mencakupi aspek pembelajaran tentang moral, etika, toleransi dan keadilan. Ia juga asas dalam mengukuhkan pendidikan negara, membantu menerapkan pemikiran kritis dan kreatif, memfokuskan pembangunan sahsiah serta pendekatan baharu terhadap ekonomi manusiawi, ihsan dan mampan.

Kompetensi ialah gabungan pengetahuan, kemahiran dan sikap dalam diri seseorang yang digunakan dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Kompetensi secara umumnya boleh dilihat, boleh diukur dan boleh dipelajari. Tahap kompetensi tinggi, menunjukkan kecekapan seseorang dan ketinggian nilai bakat tersebut yang mampu menghadapi cabaran alam pekerjaan dan cabaran kehidupan.

Terdapat pelbagai kompetensi yang harus dikuasai oleh graduan dari aspek personal, sosial dan profesional. Kompetensi ini yang bakal membantu graduan mengharungi cabaran di alam pekerjaan, sekali gus menjadikan mereka fleksibel dengan apa jua situasi, bijak menyesuaikan diri serta berkemahiran tinggi.

Sebagai seorang graduan, memahami prinsip madani adalah sangat relevan dalam membentuk keperibadian dan karakter unggul. Ia menjadi teras dalam pembinaan kompetensi diri yang bakal memanfaatkan masa depan graduan.

Ramai graduan lahir dari institusi pengajian tinggi, namun adakah mereka yang hanya memperoleh kelulusan akademik terbaik didambakan majikan atau yang mempunyai pakej menarik untuk perkembangan kerjaya diri dan organisasi?

Graduan sendiri harus tentukan, apakah ciri unik dan nilai tambah mereka untuk melangkah ke alam pekerjaan dan kehidupan sebenar? Graduan harus bijak mengambil peluang dan mencari ruang membina kompetensi diri. Ia gelanggang terbaik untuk mendapatkan pelbagai ilmu serta membina pengalaman hidup bermasyarakat.

Jadilah graduan berkompetensi tinggi yang cemerlang agar bijak mengemudi masa hadapan, menghargai kehidupan, meraikan perbezaan dan berkongsi persamaan.-UTUSAN

MOHD. RAFIZI RAHMAD & SITI ZALIPAH IBRAHIM
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN