SAUDARA PENGARANG,
KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan sebuah institusi keselamatan sosial yang ditubuhkan di bawah Undang-Undang Malaysia, Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452) yang menyediakan faedah persaraan kepada ahlinya melalui pengurusan simpanan mereka secara cekap dan boleh dipercayai.
Majikan membuat bayaran caruman KWSP bagi pekerja di bawah kontrak perkhidmatan atau perantisan secara bulanan melalui potongan gaji.
Semasa negara dilanda wabak Covid-19 pada Mac 2020, kerajaan waktu itu membenarkan RM145 billion simpanan ini dikeluarkan bagi meringankan beban dan derita pencarum yang terkesan dengan wabak itu.
Manakala pada 9 Mac lalu, ketika menggulung perbahasan Belanjawan Negara 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemuka cadangan membenarkan mereka yang terdesak dan mempunyai simpanan mencukupi dalam akaun KWSP mencagarkan caruman mereka kepada pihak bank.
Namun cadangan ini dibantah oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik pembangkang yang menyifatkannya sebagai tidak membantu pencarum yang terhimpit dan terkesan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Sebaliknya Anwar mencadangkan idea untuk mencagarkan KWSP kepada institusi kewangan.
Beliau secara analoginya menyediakan pancing untuk rakyat menangkap ikan, bukannya memberi rakyat ikan.
Cadangan Perdana Menteri ini baik dan praktikal. Setiap tahun dividen bertambah. Kalau tidak bayar, barulah pihak bank mengambil cagaran itu. Tuntasnya inisiatif ini membenarkan simpanan KWSP sebagai cagaran dan dipersetujui pihak bank adalah suatu penyelesaian terbaik untuk rakyat yang terkesan.
Anwar tegas dan proaktif mengajar rakyat berhemah, mengurus kewangan keluarga, mengajar rakyat berdikari selain berusaha membawa Malaysia keluar dari halangan ekonomi dan kembali melonjak keyakinan pelabur terhadap negara ini melalui tatakelola yang baik.-UTUSAN
YOSRI ABU MAHSIN
Putrajaya










