Bila lagi pemimpin Melayu mahu bersatu? - Utusan Malaysia

Bila lagi pemimpin Melayu mahu bersatu?

PERIKATAN Nasional (PN) mendapat sokongan besar daripada orang Melayu terutama dari negeri-negeri pantai timur termasuk Perlis dan Kedah. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SUKARNYA pemimpin Melayu bersatu dalam satu gabungan wadah politik adalah hakikat yang tidak dapat dinafikan. Harus difahami, ungkapan gabungan bukan merujuk kepada satu parti kerana memang sukar untuk wujud satu parti bagi mewakili seluruh kaum Melayu.

Lagi pula dalam negara yang mengamalkan demokrasi di mana kewujudan pelbagai parti politik adalah lumrah. Isu yang ingin disentuh di sini adalah mengenai sukarnya pemimpin Melayu bersatu bagi menghadapi ancaman kemerosotan kuasa politik kaum itu di tanah nenek moyangnya sendiri.

Pernah ada usaha dua kuasa politik besar Melayu (UMNO dan Pas) bersatu dalam gabungan wadah yang dinamakan Muafakat Nasional (MN). Usaha ini dibuat setelah UMNO kalah dalam Pilihan Raya Ke-14 (PRU14) pada 2018.

Namun, usaha itu boleh dikatakan lebur menjelang PRU15 kerana masing-masing membawa haluan dan agenda sendiri.

Walaupun jasad MN belum berkubur lagi, namun matlamat dan tujuan penubuhannya sudah tidak dihiraukan. Memang ada usaha beberapa kerat pemimpin Melayu untuk menggerakkannya semula tetapi kelihatan agak sukar. Puncanya kerana ego masing-masing yang berasa hebat dan yakin boleh mencipta kemenangan sendiri.

Memang sukar untuk parti-parti besar Melayu itu bersatu selagi wujudnya penyakit keegoan yang membawa kepada perpecahan dan persengketaan sesama pemimpin kaum itu.

Namun, sekurang-kurangnya dalam kedudukan kuasa politik Melayu yang semakin merosot mereka sepatutnya bersedia untuk bersatu atau bergabung tenaga untuk memastikan tampuk pemerintahan negara tetap didominasi oleh kuasa politik Melayu.

Selepas PRU15, UMNO terus kecundang lebih teruk lagi yang akhirnya terpaksa mengharap belas ehsan musuh-musuh politiknya.

Pas walaupun mencipta kejayaan besar dalam sejarah perjuangan politiknya dengan meraih kerusi Parlimen terbanyak berbanding dengan semua parti-parti politik yang lain, namun Pas yang bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) masih gagal membentuk kerajaan.

Ini disebabkan UMNO lebih rela bersama musuh politiknya. Begitu juga parti-parti politik dari Sabah dan Sarawak sedia mengikut gabungan mana yang berupaya membentuk kerajaan. PN boleh dianggap sebagai usaha Pas dan Bersatu untuk mengembalikan kekuasaan Melayu sebagai kerajaan yang memerintah.

Memang PN mendapat sokongan besar daripada orang Melayu terutama dari negeri-negeri pantai timur termasuk Perlis dan Kedah.

Seandainya UMNO bersama PN, pasti kerajaan hari ini adalah kerajaan yang berteraskan kuasa Melayu. Harus difahami bahawa kuasa politik Melayu bukan untuk menzalimi mana-mana kaum tetapi ia memang wajar menjadi teras berasaskan sejarah, kedudukan agama Islam dan warisan budaya kaum bumiputera di negara ini.

Apa faedahnya kaum Melayu mempunyai banyak parti politik sekiranya mereka berterusan bertelagah semata-mata mahu menjatuhkan antara satu sama lain?

Akhirnya, menggadai segala kepentingan yang sepatutnya dipertahan dan diperjuangkan. Ia hanya menjadi medan persengketaan dan melepaskan nafsu marah sesama pemimpin sebangsa dan seakidah.

Kebebalan dan kepalsuan dalam berpolitik yang tidak menguntungkan ini tidak membawa apa-apa makna kepada kedaulatan Melayu di tanah air sendiri. – UTUSAN

MOHD. AYOP ABD. RAZID, Penganalisis sosiopolitik bebas

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN