Beri duit raya dapat pahala sedekah, erat silaturahim - Utusan Malaysia

Beri duit raya dapat pahala sedekah, erat silaturahim

IBU bapa serta golongan lebih tua wajar menerapkan kembali matlamat utama aktiviti ziarah-menziarahi iaitu untuk mengeratkan silaturahim dan bukan menjadi agenda untuk mengutip duit raya semata-mata. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PEMBERIAN duit raya atau angpau pada asalnya merupakan amalan tradisi dalam masyarakat Cina terutama ketika perayaan. Angpau lazimnya diberikan kepada kanak-kanak atau golongan muda yang masih belum berkahwin.

Bagi masyarakat Cina kuno, angpau diberi sebagai simbolik untuk menghalang roh-roh jahat. Namun, bagi masyarakat Cina moden, angpau dianggap sebagai hadiah dan pengharapan yang terbaik antara pemberi dan penerima sempena tahun baharu.

Menjengah ke dalam kemanisan hidup bermasyarakat majmuk, budaya memberi duit raya kini sudah diasimilasi dalam masyarakat Melayu ketika menjelang Syawal.

Peruntukan pemberian duit raya boleh menjadi suatu bebanan kepada tuan rumah jika tiada perancangan yang baik dan tidak disertakan dengan niat yang ikhlas. Bagaimanapun, telah dinyatakan di dalam satu hadis tidak akan miskin seseorang yang bersedekah.

“Tidaklah sedekah itu mengurangkan harta seseorang dan Allah akan menambahkan kemuliaan bagi orang yang memberi kemaafan. Begitu juga Allah akan mengangkat kedudukan seorang yang bersifat tawaduk.” (Riwayat Muslim)

Selain itu, ibu bapa serta golongan lebih tua wajar menerapkan kembali matlamat utama aktiviti ziarah-menziarahi bagi mengeratkan silaturahim.

Ia bukan menjadi agenda untuk mengutip duit raya khususnya kepada golongan kanak-kanak. Adab ketika menerima duit raya juga perlu diingatkan seperti tidak meminta-minta duit raya kepada tuan rumah dan menjaga air muka dengan tidak membuka sampul duit raya di hadapan tuan rumah.

Oleh itu, budaya duit raya jika dihalusi dengan baik boleh menjadi satu ibadah yang dituntut dalam Islam. Rebutlah peluang ketika Syawal ini untuk mendekatkan yang jauh dan menambah kemesraan antara sanak saudara yang jarang berjumpa.

Pemberian duit raya bukan suatu kewajiban tetapi suatu ibadah sunat yang menguntungkan kerana ia menghasilkan dua bentuk pahala iaitu pahala bersedekah dan pahala menghubungkan silaturahim. Ingatlah juga, adalah lebih baik jika duit raya itu diberikan kepada ibu bapa dan sanak saudara terdekat. – UTUSAN

SITI HANISAH MOHD. SHARIFFUDIN, Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN