Bayar zakat bukan hanya bermusim - Utusan Malaysia

Bayar zakat bukan hanya bermusim

KEWAJIPAN membayar zakat fitrah meliputi segenap umat Islam sama ada lelaki, perempuan mahupun dewasa dan kanak-kanak. – UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

RAMADAN baru sahaja melabuhkan tirainya. Semasa kita melalui bulan yang penuh keberkatan itu, kita diwajibkan menunaikan zakat fitrah. Secara literalnya, zakat bermaksud berkembang dan bertambah.

Manakala secara syaraknya, ulama terkenal, Imam al-Syawkani menyatakan bahawa zakat bererti memberi sebahagian daripada harta benda yang cukup nisabnya kepada orang yang berhak terhadap harta itu seperti fakir miskin.

Ringkasnya, dapatlah kita fahami bahawa zakat itu diambil daripada orang yang tertentu, melibatkan kekayaan tertentu dan diagihkan kepada orang yang tertentu.

Kewajipan membayar zakat fitrah meliputi segenap umat Islam sama ada lelaki, perempuan mahupun dewasa dan kanak-kanak. Hikmahnya adalah untuk menyucikan diri daripada perkara yang lalai dan keji serta membantu orang-orang miskin.

Ibn Abbas r.a berkata, “Rasulullah SAW telah memfardhukan zakat fitrah sebagai menyuci bagi orang yang berpuasa dari sebarang lagha dan keji serta memberi makan kepada orang-orang miskin.” (Riwayat Abu Daud)

Namun, pembayaran zakat bukan terhenti apabila kita menunaikan zakat fitrah semata-mata. Pembayaran zakat tidak hanya tertumpu dalam bulan Ramadan.

Hasil pendapatan kita seperti gaji dan sebagainya apabila telah cukup kadarnya, boleh dikenakan zakat harta pada tahun semasa. Zakat juga tidak hanya tertakluk kepada perolehan pendapatan, tetapi boleh dikenakan kepada mana-mana harta yang sifatnya berkembang dan dimiliki penuh penguasaannya oleh tuan empunya harta tersebut.

Oleh itu, jadikan kemampuan kita dalam membayar zakat fitrah sebagai satu motivasi untuk kita menunaikan pembayaran zakat harta dalam bulan-bulan yang lain.

Pembayaran zakat harta ini juga menjadi satu bantuan bersasar kepada golongan miskin dan tidak berkemampuan agar harta yang ada tidak hanya dimonopoli oleh golongan kaya dan elit.

Tunaikanlah zakat harta kerana harta yang dikeluarkan itu akan bertambah banyak, menjadi lebih bererti dan melindungi kekayaan pemilik harta itu daripada kebinasaan. – UTUSAN

DR. MUHAMMAD HAFIZ BADARULZAMAN, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN